Sanusi guna perkataan lucah, ADUN DAP lapor polis

ADUN Sungai Pinang Lim Siew Khim membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menggunakan perkataan lucah di dalam siri ceramahnya di Pulau Pinang.

Laporan dikemukakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut itu, susulan rakaman video membabitkan tindakan Muhammad Sanusi yang tular di media sosial.

Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat tindakan Muhammad Sanusi yang disifatkan langsung tidak boleh dikompromi.

Mengenai rakaman itu, video memaparkan pemimpin Pas tersebut menyebut alat kelamin lelaki dalam loghat Hokkien yang tidak bersunat di ceramah Perikatan Nasional (PN) yang dianjurkan di Permatang Pauh, Pulau Pinang, baru-baru ini.

“Perkataan lucah sama sekali tidak dibenarkan apatah lagi dia (Sanusi) Menteri Besar boleh mengeluarkan perkataan sebegitu di khalayak ramai.

Perkataan sebegitu memang tidak boleh diterima sama sekali terutama kepada kanak-kanak kerana ia (menggunakan perkataan lucah) boleh menjadi contoh buat mereka,” katanya.

Lim berkata demikian menerusi penstriman langsung di Facebook DAP Pulau Pinang.

Justeru, Lim yang juga Ketua Wanita DAP negeri itu menggesa agar pihak polis mengambil tindakan tegas ke atas Sanusi.

Selain Lim, ahli majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Lee Wei Seang turut membuat laporan polis terhadap Sanusi. Dia mahukan pihak polis menyiasat perkara tersebut di bawah seksyen 509, Kanun Keseksaan atas tuduhan mengaibkan kehormatan.

Dalam hal berkaitan, Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid juga membuat laporan yang sama terhadap Menteri Besar Kedah itu.

Jelasnya, Sanusi yang juga pemimpin dari parti Islam tidak wajar membuat perbuatan sebegitu yang boleh menyinggung dan mempengaruhi khalayak terutamanya kanak-kanak.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen DAP itu menggesa Sanusi disiasat di bawah Seksyen 505 kanun Keseksaan iaitu membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Jika disabitkan kesalahan, Sanusi boleh dipenjara hingga 2 tahun, denda atau kedua-duanya.