Masa untuk Fahmi perkasa komunikasi Kerajaan MADANI

Oleh NORAINI NORDIN

Dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin, terdapat dua kementerian yang dipecahkan menjadi empat untuk diberi peranan yang lebih khusus.

Dua kementerian terbabit ialah Kementerian Komunikasi dan Digital yang kini menjadi Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pula menjadi Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Awam.

Kementerian Komunikasi diterajui Fahmi Fadzil, Kementerian Digital diketuai Gobind Singh Deo, Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dipimpin Datuk Seri Fadilah Yusof, sementara Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam diketuai oleh Nik Nazmi Nik Ahmad.

Daripada keempat-empat menteri itu, yang paling menjadi perhatian dan diperbualkan ramai ialah Menteri Komunikasi.

Apatah lagi, melalui pecahan kementerian yang dilakukan itu, Fahmi sekarang bertanggungjawab terhadap Bernama, IPPTAR, Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Finas, Suruhanjaya Komunikasi dan Mulmimedia Malaysia, MyCreative Ventures serta ditambah dengan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang dipindahkan daripada Jabatan Perdana Menteri.

Melalui peranan yang luas tersebut, kedudukan Fahmi selaku Menteri Komunikasi sekarang ini tidak ubah seperti Menteri Penerangan ketika era kerajaan BN beberapa dekad lalu.

Tambahan pula dengan J-KOM yang terpalit dengan isu “video Wahab” turut diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi, mahu tidak mahu, Fahmi selepas ini dengan sendirinya tidak terelak lagi daripada terus dijadikan sorotan serta perhatian yang berpanjangan.

Mampukah Fahmi?

Menoleh ke belakang sejak setahun beliau memegang jawatan Menteri Komunikasi dan Digital sebelum ini, sesuatu yang tidak boleh dinafikan ialah kesungguhan beliau dalam kerja-kerja berkaitan komunikasi dan media yang dilakukannya.

Beliau cuba melakukan sehabis baik, terutama dalam menangani serangan media sosial pihak lawan serta penyebaran fitnah ganas terhadap Kerajaan Perpaduan.

Fahmi malah rajin turun padang untuk bertemu serta berinteraksi dengan penggiat media sosial pro kerajaan untuk berkongsi maklumat, memberi pencerahan serta panduan.

Kadang-kadang pula, beliau sendiri menjawab sesuatu isu itu melalui platform media sosial miliknya serta tidak terkecuali sesekali memberi komen di laman-laman tertentu sebagai pencerahan terhadap sesuatu perkara yang dibangkitkan.

Semua ini menunjukkan, meskipun Fahmi baru pertama kali menganggotai Kabinet, tetapi amat terserlah kesungguhan dan kerajinannya melaksanakan tugas yang diamanahkan, terutama untuk mempertahankan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.

Peluang luas perteguh komunikasi Kerajaan MADANI

Kini, dengan peranan dan tanggungjawab lebih khusus berkaitan komunikasi semata-mata yang dipikulnya, adalah penting beliau harus diberi peluang seluasnya dalam tugas yang diamanahkan kepadanya, terutama untuk memulih dan memberi peranan lebih berkesan terhadap J-KOM.

Berdasarkan agensi-agensi yang disenaraikan diletakkan di bawah tanggungjawab Fahmi, terpikul beban yang menyeluruh untuk menangani semua perkara berkaitan isu komunikasi atau penerangan dalam negara ini.

Beliau tidak boleh dilihat ‘gagal’ dalam tugasnya kerana gagal dalam kerja komunikasi ini bermakna ‘gagallah’ kerajaan di mata rakyat serta pengundi.

Begitu juga jika J-KOM selepas ini tidak berjaya diaktifkan selayaknya untuk mempertahankan kerajaan, maka akan dianggap ‘gagallah’ juga Fahmi.

Lantaran itu, bagi memungkinkan segala ‘kegagalan’ itu dapat dihindari, semua pihak harus memberi masa, peluang dan sokongan kepada Fahmi agar beliau membuktikan bahawa Perdana Menteri tidak silap dalam memberinya amanah yang besar lewat rombakan kabinet kelmarin.

Rakyat yang sayangkan Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan MADANI perlu bersama-sama memainkan peranan sokong menyokong dan membantu satu sama lain, agar kerajaan yang diterajui oleh PMX kekal sehingga ke akhir penggal dan menyambung pemerintahan buat penggal berikutnya.

*NORAINI NORDIN merupakan Pengarah Komunikasi Wanita PKR Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita PKR Pusat.

 

BACA JUGA JKom dipindahkan ke Kementerian Komunikasi