DBKL buang khemah di depan kedutaan Amerika

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menurunkan khemah yang dipasang peserta himpunan Kepung Demi Palestin berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak di sini, awal pagi ini.

Tindakan itu diambil susulan keenganan peserta mematuhi nasihat polis supaya tidak memasang khemah untuk bermalam di tepi jalan di kawasan berkenaan atas faktor keselamatan

Menurut Scoop yang memperoleh rakaman video, beberapa petugas DBKL mengarahkan peserta menurunkan khemah manakala jurucakap gabungan penganjur Tian Chua cuba berbincang tetapi gagal.

“Kita buka dari sana you (anda) bagi lah masa. Kita runding, kita dah kata kita akan buat sendiri, tangan you tak boleh sentuh barang kita.

“Kita tengah buka sana satu demi satu lah, you jangan sentuh, you tak ada hak untuk sentuh, kita tengah buat, you jalan, you keluar, jangan kurang ajar,” katanya.

(Tian Chua di depan khemah Himpunan Demi Palestin di depan kedutaan Amerika sebelum dirobohkan oleh DBKL.)

Setiausaha Agung Parti Muda, Amir Hariri Abd Hadi yang turut berada di lokasi berkata, pihak penganjur agak kecewa kerana himpunan yang dirancang dan dimaklumkan kepada pihak berkuasa terganggu.

“Kita dilayan macam penjenayah. Sekarang pukul 3 pagi dan kita tahu masing-masing pun boleh nak balik tidur, tapi di sini kita tak menganggu sesiapa pun, kalau tengok tidak menganggu jalan raya dan sebagainya,” katanya.

“Bukan kita berdiri di sini untuk menganggu orang lain, bukan kita di sini untuk minta nak jatuhkan kerajaan ataupun nak buat rusuhan, kita secara aman pacak khemah untuk kita bersolidariti bersama rakyat Palestin, tak akan tak boleh bagi kita masa, mana kemanusiaan kita…” katanya.

Polis larang atas faktor keselamatan

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid sebelum ini telah pun berkata, PDRM melarang peserta himpunan itu daripada mendirikan sebarang struktur, termasuk khemah di hadapan Kedutaan AS.

Katanya, menjadi tanggungjawab polis mengeluarkan arahan itu bagi menjaga ketenteraman dan keselamatan semua pihak, termasuk premis pihak kedutaan asing.