Mahathir setuju individu bergelar ‘Tun’ juga perlu disiasat

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju individu yang berpangkat ‘Tun’ juga perlu disiasat sekiranya mereka tidak dapat menjelaskan secara terperinci bagaimana mereka memperoleh kekayaan.

Beliau berkata, harta mereka juga perlu disita jika gagal memberi penjelasan.

“Tun bukan sahaja perlu disiasat. Mereka juga perlu direman sehingga mereka mendedahkan sumber kewangan mereka. Jika tidak, itu pasti kerana mereka menyembunyikan sesuatu.

“Rasuah mesti dibanteras dengan apa cara sekalipun. Jika Peguam Negara (AG) berpendapat tuduhan itu berpunca daripada politik, itu adalah hak AG untuk tidak meneruskan pendakwaan. Pasport hendaklah dikembalikan.

“Ini adalah hak AG. Mahkamah tidak boleh mempersoalkan keputusan AG,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Tambah beliau lagi, Malaysia merupakan sebuah negara yang berpegang kepada undang-undang dan pesalah pertama mesti menerima penuh tindakan undang-undang.

“Jika hukuman sebat itu wajib, maka pesalah perlu disebat. Undang-undang Malaysia adalah peraturan yang tertinggi. Kita semua perlu patuh kepadanya,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini mengesahkan sedang menyiasat bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram, susulan sitaan sebuah bangunan minggu lalu.

Bangunan yang mempunyai 60 tingkat di tengah-tengah ibu kota itu disita mengikut Akta SPRM 2009.