Dr M dicabar agar disiasat oleh SPRM

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad membenarkan diri (Mahathir) dan anak-anaknya disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tun, cakap siang pandang – pandang. Cakap malam, dengar – dengar. Saya yakin Tun berani disiasat,” kata pemimpin PKR itu dalam satu kenyataan yang turut dimuatkan di media sosialnya.

Shamsul mencabar Mahathir ekoran sindiran Mahathir yang menyatakan semua yang bergelar Tun perlu disiasat.

SPRM sedang menyiasat Tun Daim Zainuddin yang merupakan menteri kewangan ketika pentadbiran Mahathir selama 22 tahun.

Shamsul mengingatkan Mahathir bahawa gelaran Tun tidak menjadikan seseorang kebal dari undang-undang.

“Umum mengetahui mengapa Dr Mahathir membuat kenyataan sebegini, kerana dia sememangnya tidak senang dengan Anwar Ibrahim sejak tahun 1998 lagi.

“Ini kerana keengganan Anwar yang ketika itu menjadi menteri kewangan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat milik anak-anak Dr Mahathir ketika krisis ekonomi Asia 1997-98, yang mengakibatkan pemecatan Anwar dan mencetuskan krisis politik sehingga ke hari ini.

“Tetapi jika jujurlah kata-kata Mahathir sekiranya dia mahu semua Tun disiasat, kita boleh mulakan siasatan ke atas beliau dan anak-anaknya dahulu,” kata Shamsul.

Shamsul turut menggesa SPRM menyiasat semua projek mega ketika pentadbiran Mahathir di mana berlakunya penyelewengan.

Projek-projek yang dimaksudkan adalah seperti Perwaja Steel, Empangan Hidroelektrik Bakun, MISC Berhad, Pelabuhang Klang dan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Maminco dan Kenchana Petroleum.