Banjir Kelantan: PM umum bantuan awal RM50 juta

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan awal sebanyak RM50 juta untuk mangsa banjir di Kelantan.

Perdana Menteri berkata, peruntukan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu akan disalurkan secara terus kepada mangsa banjir.

“Bagi mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) dan kawasan sekitar, setakat ini kita meluluskan peruntukan awal RM50 juta.

“Menerusi peruntukan berkenaan, setiap keluarga akan menerima RM1,000 dan tambahan bantuan lain bergantung pada kerugian yang dialami mangsa banjir,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada sidang media selepas melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, Pasir Mas, hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Dalam masa sama, Perdana Menteri juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak sama ada jentera Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang membantu mangsa banjir.

“Kerjasama kedua-dua pihak ini menjadikan proses membantu mangsa banjir berjalan lancar demi keselesaan rakyat.

“Apa yang penting, kita mahu meredakan tekanan yang dialami rakyat akibat banjir,” tambah Anwar lagi.

Keadaan banjir di Kelantan bertambah buruk apabila mangsa yang terjejas kini mencecah 20,788 orang daripada 6,795 keluarga setakat jam 4.30 petang ini.

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Sungai Golok di Rantau Panjang merekodkan bacaan 10.28 meter (m) melebihi paras bahaya 9.0 m.