Daim anggap siasatan bermotifkan politik

Selepas seminggu Menara Menara Ilham disita, Tun Daim Zainuddin mendakwa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya sebagai bermotifkan politik.

Menerusi kenyataannya hari ini, bekas Menteri Kewangan tersebut menafikan dia dan keluarganya terbabit dalam rasuah atau sebarang salah laku.

Menurutnya, sehingga kini dia tidak dimaklumkan mengenai kesalahan yang dilakukannya walaupun berkali-kali mengajukan perkara itu kepada SPRM.

“Saya boleh mendedahkan bahawa kami menerima surat yang ditandatangani oleh (Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri) Azam Baki sendiri yang menolak secara langsung untuk memberitahu saya apa kesalahannya.

“Namun, terdapat usaha terancang untuk memburukkan saya dengan mengeluarkan maklumat salah dan sindiran tidak berasas terhadap saya,” dakwanya yang dikenali sebagai bapa korporat Malaysia.

Minggu lalu, SPRM menyita Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, Kuala Lumpur yang dikatakan milik keluarga Daim.

Menara Ilham 60 tingkat yang siap dibina pada 2015 terdiri daripada 33 tingkat untuk kegunaan pejabat manakala selebihnya adalah apartmen.

Mengulas lanjut, Daim berkata, sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggapnya sebagai ancaman dan musuh politik.

Dalam masa sama, beliau menganggap Azam pula sebagai tidak profesional dan mencurigakan kerana membuat pelbagai komen prejudis terhadapnya ketika siasatan masih berjalan.

“Sebagai ketua organisasi, Azam perlu bertanggungjawab terhadap kebocoran berita ‘sumber’ mengenai siasatan ini.

“Apa yang dipanggil ‘sumber’ ini hanya boleh datang dari dalam SPRM kerana ia bertujuan untuk mendedahkan butiran siasatan terbabit,” katanya lagi.

Bangunan Menara Ilham dengan ketinggian 274 meter merangkumi hotel empat bintang, pejabat rasmi, galeri, medan selera serta kedai cenderamata.