Dakwa rasuah projek banjir, Nik Nazmi serah tuntutan kepada Chegubard

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad telah menghantar surat tuntutan (Letter Of Demand) kepada ketua penerangan Bersatu Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegubard di atas satu fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

Nik Nazmi dalam kenyataan berkata, peguamnya pada semalam telah menyerahkan surat tuntutan kepada Chegubard agar menarik balik tuduhan terhadapnya dengan serta merta dan memohon maaf secara terbuka.

“Beratnya tuduhan palsu ini memerlukan tindakan undang-undang yang tegas untuk menjaga nama baik dan kewibawaan saya, kementerian dan Kerajaan Persekutuan.

“Komitmen kami kekal dalam menegakkan kebenaran dan membetulkan tanggapan serong ekoran tuduhan tidak berasas seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chegubard sebelum ini mendakwa terdapat elemen rasuah dalam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dikendalikan kementerian Nik Nazmi.

Dakwanya, projek RTB yang dikendalikan kementerian itu mencecah RM16.6 bilion dan terdapat syarikat serta individu yang langsung tidak dikenali memperoleh komisen sebagai proksi kepada menteri.

Nik Nazmi berkata, dengan berlangsungnya prosiding undang-undang, pihaknya mengesahkan dedikasi terhadap ketelusan dan pematuhan kepada proses undang undang.

Pada masa yang sama, beliau mengalu-alukan sebarang siasatan oleh pihak polis untuk bertindak ke atas dakwaan yang dibuat oleh Chegubard.