MB dan Exco dapat kereta baru, rakyat menanti janji duit banjir

Oleh FIRAZ ANUAR ZIKRI

Kerajaan Pas Terengganu membeli kereta baru untuk kegunaan Menteri Besar dan juga Exco bagi penggal kedua pemerintahannya di Terengganu Darul Iman.

Penggal pertama 2018 hingga 2023, kerajaan Pas telah membeli Nissan Teana 2.0 untuk semua Exco dan juga MB.

Kini, mereka beralih arah ke model Mazda CX-8 SUV dengan anggaran bernilai RM235,000 sebuah.

Kelihatannya daripada foto-foto yang tular minggu ini lebih daripada 15 buah kereta sedang berada di depot kerajaan untuk kegunaan mereka.

Syabas dan tahniah Pas Terengganu yang memikirkan perut mereka sahaja sedangkan kereta sedia ada masih cantik dan baik untuk urusan kerajaan.

Mereka momokkan bahawa kerajaan negeri tiada duit untuk membantu rakyat, melunaskan janji duit banjir rakyat akan tetapi mampu membeli kereta untuk mereka.

Dalam Belanjawan 2024 Negeri Terengganu juga TIDAK dinyatakan bonus kakitangan awam, tiada lagi bantu untuk rakyat seperti I-FITRI, i-Belia, pencen rakyat, i-Siswa dan beberapa bantuan one-off untuk rakyat Terengganu hari ini.

Setelah mendapat keputusan 40-0 dalam PRU15 dan PRN lalu, seolah-olah inilah masanya untuk mereka menggondol apa sahaja milik rakyat lantaran dalam Dewan DUN Terengganu tiada pembangkang serta kelulusan hanya sesama mereka sendiri.

Syabas diucapkan kepada seluruh rakyat Terengganu yang mengundi Pas.

BACA JUGA Banjir di Kelantan, Terengganu makin buruk