Sambal Nyet diciplak: Khairul Aming ambil tindakan mahkamah

Pengusaha Sambal Nyet Berapi, bertindak mengemukakan tindakan undang-undang terhadap penjual yang menciplak ‘Sambal Nyet’ keluarannya.

Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman berkata, pihaknya sudah mengenal pasti penjual Sambal Nyet Khairi itu.

Pempengaruh media sosial berkenaan memberitahu, peguamnya telah mengemukakan surat tuntutan bagi pelanggaran hak harta intelek.

“Ada lapan tuntutan yang kita sudah senaraikan dan jika mereka gagal penuhi kesemua tuntutan berkenaan, kita akan bawa kes ini ke peringkat seterusnya.

“Sambal Nyet sudah didaftarkan tanda dagangan di MyIPO dan sudah diluluskan pada 2 November 2021,” katanya menerusi Facebook Khairul Aming Fans.

Sejak semalam heboh Sambal Nyet Khairi yang dikatakan netizen sebagai “sebiji” menciplak Sambal Nyet Berapi yang diusahakan Khairul Aming.

Terdapat juga pembeli yang mengaku terpedaya apabila terbeli sambal ciplak itu yang menggunakan format pemasaran hampir sama dengan sambal keluaran Khairul Aming.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ini bukan kali pertama isu ciplak sambal jenamanya berlaku.

“Dah jadi pun tiga tahun lepas. Saya yakin ramai orang dah tahu kes itu. Tapi itulah, ada juga orang yang degil,” katanya.

Dalam masa sama, Khairul menegaskan beliau menyokong peniaga kecil tetapi berharao mereka berniaga dengan cara beretika dan berhemah.

“Jangan aniaya orang ramai macam ini,” tambahnya lagi.