‘UAI juga beberapa kali terlanjur cakap’ – Hasbie
Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Hasbie Muda menyifatkan penyokong Ustaz Azhar Idrus (UAI) juga perlu sama mengakui bahawa penceramah berkenaan turut terlanjur kata.
Hasbie yang juga Ketua Pemuda AMANAH Nasional berkata demikian mengulas permohonan maaf secara terbuka daripada seorang doktor di Terengganu, Dr. Ahmad Najmee Mohd. Nor hari ini.
“Saya setuju ada sedikit komen Dr yang terlanjur. Cuma perlu diakui juga oleh UAI dan penyokongnya bahawa UAI juga beberapa kali terlanjur cakap.
“Sama-sama perbaiki. Kita tak sempurna,” kata Hasbie.
Terdahulu, Dr. Ahmad Najmee memohon maaf kepada UAI selepas memuat naik beberapa hantaran di Facebook yang menuduh penceramah itu tidak memiliki sebarang tauliah mengajar.
“Keterlanjuran kata ini adalah hasil dari kelemahan diri saya sendiri yang terlalu emosi akibat terpengaruh dengan provokasi di media sosial.
“Permohonan maaf secara peribadi berbentuk video juga diajukan kepada UAI,” kata Dr. Ahmad Najmee.
Pemilik Klinik Soho di Kuala Terengganu tersebut berkata, beliau reda dengan segala cercaan dan makian atas keterlanjuran kata-katanya itu.
“Saya tidak dapat mengharapkan kalian semua memaafkan saya tetapi saya mohon sedikit ihsan supaya memberi saya peluang kedua.
“Pertemuan dengan Mazuwan (wakil keluarga UAI), semalam telah membuka hati saya tentang keikhlasan UAI menyampaikan ilmu agama kepada semua dan tidak hairan kenapa UAI menjadi kesayangan kepada pecinta ilmu agama,” ujarnya.
Polemik mengenai UAI timbul selepas pendakwah Pas itu menuduh Perdana Menteri sebagai sesat ketika menjawab soalan seorang walaun berhubung tujuh pemuda Ashabul Kahfi.
Walau bagaimanapun, UAI memberi jawapan spontan tanpa memperhalusi ucapan sebenar Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru-baru ini.
BACA JUGA Dua kesilapan Ustaz Azhar Idrus mengenai isu Al-Kahfi