Cadangan pelantikan bukan Islam sebagai anggota JKMBTMS satu kekhilafan

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menjelaskan bahawa cadangan pelantikan bukan Islam sebagai anggota Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah (JKMBTMS) oleh Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) adalah kekhilafan berkaitan punca kuasa penubuhan.

“Jawatankuasa tersebut ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Hal- Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor dan bertujuan untuk menasihati majlis tersebut dengan cadangan-cadangan memperkasakan bidang tugas Mahkamah Syariah.

“Sebarang cadangan oleh jawatankuasa tersebut yang melibatkan sebarang pindaan undang-undang perlu dibawa ke Jemaah Menteri untuk proses penggubalan rang undang-undang seperti biasa.

“Perlu ditegaskan bahawa penubuhan jawatankuasa khas ini bukan ditentukan oleh Jemaah Menteri tetapi oleh MKI dan mereka melapor secara langsung kepada MKI,” kata Loke dalam satu kenyataan.

Beberapa hari yang lalu Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mencadangkan agar pakar perundangan bukan Islam turut dilantik menganggotai JKMBTMS.

Ngeh mencadangkan agar pakar yang dilantik adalah juga dari Majlis Peguam.

Cadangan tersebut bagaimanapun dibantah oleh setiausaha Umno Datuk Arshad Wajdi Dusuki.

Loke turut menafikan andaian bahawa DAP cuba mencampuri urusan agama Islam.

“Saya amat sedar bahawa kenyataan Dato’ Ngeh akan menimbulkan polemik kononnya DAP cuba mencampuri urusan agama Islam.

“Ini tidak benar sama sekali. DAP menghormati kebijaksanaan DYMM Tuanku Sultan Selangor dalam membuat sebarang keputusan mengenai urusan MKI.

Loke turut menenangkan kebimbangan masyarakat bukan Islam berkaitan kesan daripada pindaan undang-undang Islam yang mungkin menyebabkan mereka turut berkesan.

“Masyarakat bukan Islam juga tidak perlu bimbang dalam perkara ini kerana sekiranya sebarang pindaan undang-undang yang melibatkan hak bukan Islam, ia perlu diperhalusi dan diputuskan oleh Jemaah Menteri dan seterusnya proses seperti biasa perlu dilaksanakan di Parlimen.

“DAP komited terhadap prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain dan keharmonian antara agama dan kaum merupakan tanggungjawab kita bersama.”