Antara Langkah Dubai dan sikap kita
Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau PMX nampaknya bersungguh-sungguh bertindak ke atas mana-mana pihak yang didapati ‘memunggah’ wang negara.
Tanpa menghiraukan risiko dari tindakannya, PMX bertegas tidak akan berkompromi dengan golongan ini walaupun bakal berhadapan dengan risiko besar dari tindakannya.
Ternyata ekoran tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), membekukan harta utama Tun Daim Zainudin iaitu Menara Ilham, tekanan kepada PMX semakin meningkat.
Terbaru apa yang dinamakan sebagai Langkah Dubai cuba dilaksanakan. Ia dibuat dengan usaha menghadap Yang Dipertuan Agong yang bakal melawat Dubai Januari depan dalam satu kunjungan rasmi baginda. Ia dikatakan dibuat menjelang peralihan Yang Dipertuan Agong dari yang ada sekarang kepada yang baharu.
Ia dibuat dengan anggapan, jika Yang Dipertuan Agong bertukar, peluang untuk melaksanakan misi mereka semakin kecil. Ini kerana ketegasan bakal Yang Dipertuan Agong agar kerajaan yang ada diberikan peluang sebaiknya dan akan menentang rasuah habis-habisan.
Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop, mendakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang sedang bercuti di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang.
“Menjadi rahsia umum sehari dua ini cerita mengenai percutian di Dubai (melibatkan) tokoh-tokoh dari PN diikuti dengan kehadiran beberapa pimpinan lain yang dikaitkan dengan kumpulan yang tidak senang dengan cara kepimpinan PMX dan kerajaan Madani.
“Maka dikhabarkan ada rumusan “Langkah Dubai”, disusun dengan tugasan diberikan kepada PIC yang ditugaskan untuk bertemu, berunding dengan tawaran-tawaran kepada mereka yang dikenalpasti boleh beralih sokongan kepada mereka.
“Dikatakan juga terdapat jurucakap yang mempunyai kabel dengan kepimpinan di sebelah pembangkang sedang berkeliaran di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, cuba untuk meyakinkan bahawa awal tahun 2024 kerajaan Madani akan tumbang, siap dengan tarikh sekali,” katanya dalam perkongsian di Facebook.
Ismail mendakwa, ada bekas perdana menteri dan bekas menteri kewangan serta sekutu mereka turut terbabit dalam perancangan itu dengan menggunakan segala sumber dalam dan luar negara.
Inilah risikonya apabila PMX bertegas mempertahankan harta negara dari dipunggah oleh pihak-pihak tertentu. Namun, beliau nampaknya tidak kisah dengan risiko dari tindakan ini.
Ada penyokong PMX sendiri yang mengkritik tindakan beliau ini.
“Ini usaha untuk menambahkan musuh ni,” kata pengkritik beliau ketika PMX dan Kerajaan Perpaduan berdepan dengan usaha berterusan pihak pembangkang untuk “menebuk atap” sekali lagi.
Apakah sikap kita? Apakah kita mahu membuka risiko jatuhnya Kerajaan Perpaduan ini ketika kita berusaha mahu mempertahankan harta negara?
Nampaknya PMX tidak berganjak dari usahanya. SPRM tetap diberikan kebebasan melaksanakan tugasnya tanpa rasa takut atau gerun dengan implikasi kepada kerajaan yang ada.
SPRM dalam kenyataannya kepada media memaklum bahawa tindakan menyita Menara Ilham yang ketinggiannya 60 tingkat dan berada di segitiga emas negara itu ada kewajarannya yang jelas.
Tindakan ini dibuat selepas Daim tidak memberikan kerjasama yang sewajarnya kepada badan penyiasat itu dalam menjalankan tugas-tugas mereka.
“Tun Daim memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan diberikan lanjutan pada 6 Julai; 10 Ogos; 11 September; 11 Oktober dan terakhir pada 14 November lalu untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.
“Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham mengikut Seksyen 38 (1) Akta 694 (Penyitaan Harta Tak Alih) pada 18 Disember lalu.
“Tun Daim disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” menurut kenyataan SPRM, lapor Berita Harian.
Agensi anti rasuah tersebut telah mula menyiasat bekas menteri tersebut sejak bulan Februari 2023 berdasarkan maklumat yang didedahkan dalam Pandora Paper, merujuk kepada pendedahan dokumen siasatan oleh International Consortium of Investigative Journalists pada tahun 2021.
Jadi apakah sikap kita sebagai rakyat Malaysi dan pencinta kepada Kerajaan Perpaduan?
Saya dengan tidak teragak-agak akan mengatakan, kita memberikan sokongan penuh kepada PMX dalam memberikan kebebasan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan mereka.
Kita mestilah bertegas bahawa harta negara adalah harta kita semua dan perlu dipertahankan. Jika inipun kita boleh bertoleleransi, apa lagi yang kita ada untuk bertahan.
Kita ingin tahu setakat mana kebenaran tiga pucuk surat yang masing-masing ditulis oleh tokoh korporat iaitu bekas Pengerusi Eksekutif Renong Bhd, Tan Sri Halim Saad; bekas Pengerusi Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Berhad (MAS) dan bekas CEO Malayan Banking Bhd, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah.
Surat-surat itu dinyatakan Anwar dalam laporan polis beliau yang dibuat pada tahun 1999 lalu, yang kini beredar semula.
Anwar yang ketika itu telah 10 bulan dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia berkata, Halim dalam surat pada 30 April 1990, menyatakan beliau sebagai pemegang amanah kepada 52,208,500 saham Faber Merlin Bhd (saham 1.00) dan 130,000,000 saham Renong Berhad (50 sen) bagi pihak Daim.
Melalui surat itu juga, Halim mengesahkan bahawa nilai saham itu dipegang menurut arahan Daim atau penama jutawan berkenaan.
“Tan Sri Tajuddin pula, dalam surat kepada Tun Daim bertarikh 24 Mei 1990 mengesahkan bahawa beliau memegang secara amanah bagi pihak Tun Daim wang sejumlah RM 70 juta.
“Tan Sri Wan Azmi pula, dalam surat kepada Tun Daim bertarikh 30 April 1990 mengaku memegang bagi pihak Tun Daim wang sejumlah RM 150 juta,” dipetik dari laporan polis itu.
Hanya satu sahaja boleh menyekat tindakan SPRM terhadap pemunggah wang negara ini.
Jatuhkan Kerajaan Perpaduan yang ada.
Sebab itulah Langkah Dubai dirancang dan disokong oleh pihak yang sebelum ini menegaskan mereka sudah cukup jumlah. Padahal ia jauh sekali menyimpang dari prinsip perjuangan yang ditanamkan kepada semua ahli parti itu sejak sekian lama.
Hari-hari juga laskar siber yang memakan dedak dari pihak yang hendak dikenakan tindakan ini melalak menyatakan Kerajaan Perpaduan akan jatuh dan sebagainya.
Jika kita semua mahu negara kita terus stabil dan dengannya kita boleh mengharungi ancaman ekonomi yang melanda dunia sekarang, tidak ada cara lain melainkan mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang ada ini.
Saya pohon menyokong.