‘Daim minta pelanjutan tempoh lima kali tapi gagal isytihar harta’

Tun Daim Zainuddin telah meminta pelanjutan tempoh sebanyak lima kali tetapi gagal mengisytihar semua hartanya. Itu menyebabkan Menara Ilham disita, dedah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Agensi anti rasuah tersebut telah mula menyiasat bekas menteri tersebut sejak bulan Februari berdasarkan maklumat yang didedahkan dalam Kertas Pandora.

“Tun Daim memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan diberikan lanjutan pada 6 Julai; 10 Ogos; 11 September; 11 Oktober dan terakhir pada 14 November lalu untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

“Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham mengikut Seksyen 38 (1) Akta 694 (Penyitaan Harta Tak Alih) pada 18 Disember lalu.

“Tun Daim disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” menurut kenyataan SPRM, lapor Berita Harian.

Sebelum ini Daim mendakwa bahawa beliau tidak dimaklumkan berkenaan kesalahan yang dilakukan meskipun dipinta berkali-kali.

SPRM turut menegaskan bahawa ia menuruti prinsip anggapan tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Perlu ditegaskan bahawa SPRM adalah sebuah suruhanjaya bebas yang bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas,” kata badan penguatkuasa itu dalam kenyataan tersebut.

Menara Ilham – bangunan 60 tingkat – telah disita pada 18 Disember.

Kertas Pandora merujuk kepada pendedahan dokumen siasatan oleh International Consortium of Investigative Journalists pada tahun 2021.