MEMPERINGATI 2023: RM280.18 bilion nilai pelaburan hasil lawatan Anwar ke negara luar

Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke empat negara terkemuka berjaya menghasilkan pelaburan asing ke Malaysia bernilai RM280.18 bilion.

Dari empat negara tersebut, jumlah pelaburan terbesar adalah hasil lawatan Anwar ke China dalam bulan April.

Ia menghasilkan RM170 bilion dalam bentuk pelaburan langsung.

Jumlah paling sedikit terhasil dalam siri lawatan beliau ke Jepun bulan ini di mana Tokyo menjanjikan RM6.56 bilion.

Selain itu, Putrajaya – Tokyo turut menandatangani perjanjian pemerolehan ketenteraan bulan ini.

Lawatan Perdana Menteri ke Amerika Syarikat sempena sidang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Persidangan Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pula menghasilkan pelaburan langsung sebanyak RM63.02 bilion.

Sesi sidang APEC juga memperlihatkan penegasan Anwar dalam isu Palestin di mana bukan sahaja menyatakan sokongan padu Malaysia untuk Palestin malah turut mengkritik kemunafikan Barat dalam menangani krisis ini.

Lawatan Anwar ke Emiriyah Arab Bersatu dalam bulan Oktober pula menghasilkan pelaburan langsung sebanyak RM40.6 bilion.

Dari sudut lawatan pula, sejak mengetuai tampuk pemerintahan sebagai PMX, lawatan ke luar negara memfokuskan kepada negara jiran di Asia Tenggara.

Singapura, Thailand, Brunei, Indonesia merupakan antara negara terawal yang dilawat beliau.

Ia diikuti pula dengan negara Muslim di Timur Tengah yang rata-ratanya adalah negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Beliau turut menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar OIC berhubung krisis di Semenanjung Gaza.

Negara rakan dagang utama seperti China, Jepun dan Amerika juga diberikan tumpuan sewajarnya.

Beliau turut mengangkat isu sejagat dalam kenyataan negara semasa sidang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Lawatan yang dibuat oleh beliau adalah selaras dengan dasar luar Malaysia.

Â