Tulis surat kepada MKI jika ada kemusykilan

Pihak bukan Islam yang mempunyai kemusykilan berkenaan Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah (JKMBTMS) boleh menulis kepada Majlis Kebangsaan Hal- Ehwal Agama Islam (MKI), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dan bagi mengelak sebarang kekeliruan, pihak bukan Islam boleh menulis kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk meleraikan sebarang kekusutan dalam suasana yang harmoni dan beradab,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan seruan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan agar agama dihormati dan tiada campur tangan dalam urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

Perkara ini timbul ekoran cadangan Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang mencadangkan agar individu bukan Islam dilantik menganggotai JKMBTMS. Ngeh turut mencadangkan lantikan dibuat dari Majlis Peguam.

Cadangan itu walau bagaimanapun ditentang oleh Umno.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menjelaskan bahawa cadangan tersebut satu kekhilafan.