10 menteri paling popular

Tahun 2023 menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada gabungan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ini senarai 10 menteri paling popular daripada editorial Harapan Daily yang menjadi bualan ramai sepanjang tahun 2023 berdasarkan gerak kerja dan inisiatif yang diperkenalkan oleh mereka:

Anwar Ibrahim

1) Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri dan Menteri Kewangan)

Sepanjang tahun ini, Anwar dilihat telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM170 bilion daripada pelabur China, yang merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah negara, sekali gus menerima pujian masyarakat dan warga maya.

Pencapaian membanggakan daripada Kerajaan Perpaduan itu diumumkan oleh beliau pada Forum Perniagaan Malaysia-China 2023, yang diadakan di Beijing, China pada 1 April lalu.

Selain itu, Anwar yang juga anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu turut terkenal dengan penggunaan istilah yang jarang digunakan dalam kehidupan seharian.

Antara istilah yang pernah digunakan Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2023 adalah seperti tantangan yang membawa maksud imbangan; wahana (saluran atau perantaraan); membobrok (merosakkan); ketimbang (berbanding) dan hubaya bermakna awas atau berjaga-jaga.

2) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri I)

Pernah menjadi bualan dan tumpuan masyarakat gara-gara perubahan pada wajah beliau dengan mata kelihatan bengkak dan lebam pada awal Julai tahun ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mencetuskan persoalan apabila beliau mengenakan kaca mata hitam ketika hadir untuk beberapa program pada Jun lalu.

Bagaimanapun, anak sulung beliau, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menjelaskan bahawa bapanya mengalami kerosakan saraf optik dan memerlukan pembedahan.

Menurut Nurul, saraf mata Ahmad Zahid tidak berfungsi dan menyebabkan mata Presiden UMNO itu menjadi ‘jatuh’.

Nurul menjelaskan, jika ia memudaratkan, sesuatu (pembedahan) perlu dilakukan dan pada masa sama beliau menegaskan tiada keperluan untuk membuat muka kerana ayahnya bukan seorang ‘bintang’ (super star).

3) Anthony Loke Siew Fook (Menteri Pengangkutan)

Menteri yang mengadakan pemeriksaan secara mengejut apabila turun padang untuk merasai sendiri denyut nadi rakyat terutama yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Pada 5 Disember 2022, meskipun belum memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Pengangkutan, beliau dilihat sudah mula turun padang apabila meninjau sendiri situasi perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, hari ini.

Dengan memakai topi dan pelitup muka berwarna hitam, Loke menyamar sebagai penumpang biasa untuk merasai sendiri pengalaman menaiki LRT itu selama dua jam pada waktu puncak.

Loke yang meninjau ke lokasi tanpa ditemani mana-mana pegawai kementerian, mengakui situasi sesak dalam LRT ketika waktu puncak antara jam 5 hingga 7 petang, memberikan ketidakselesaan kepada penumpang.

‘Spot-check’ oleh beliau tidak terhenti di situ sahaja, malah Setiausaha Agung DAP itu turut melakukan beberapa siri lawatan mengejut antaranya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 pada 28 Disember tahun lalu bagi melihat keadaan di hab pengangkutan awam di tingkat 1, KLIA 2.

4) Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan)

Pernah mendapat pujian daripada pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memuji mutu kerja ditunjukkan oleh Hannah.

Baginda yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, Ahli Parlimen Segambut itu cukup fokus terhadap kerjanya bagi memartabatkan industri sukan dan pembangunan belia di negara ini.

Namun, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu tetap merendah diri meskipun menerima pujian daripada TMJ.

Katanya, dorongan daripada Tunku Ismail membantu untuk kementeriannya membuat lebih banyak pembaharuan demi kemajuan industri sukan tanah air.

5) Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan)

Beliau mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya wanita yang memegang jawatan Menteri Pendidikan sejak kementerian itu ditubuhkan pada 1955.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu juga merupakan anak kepada bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Allahyarham Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Antara momen paling diingati masyarakat dan ahli politik di negara ini adalah pantun yang pernah diucapkan oleh beliau sendiri secara sindiran susulan tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Ogos lalu.

Fadhlina menggesa agar semua pihak menumpukan perhatian kepada khidmat negara dan masyarakat dan meninggalkan pesanan menerusi serangkap pantun ‘Tik, tik, tik, ja, ja, ja’. Sudah-sudahlah berpolitik, kini masa untuk bekerja’.

Beliau juga memperkenalkan gagasan Anak Yang Baik lagi Cerdik (ABC) adalah antara usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan pembinaan karakter yang terkait rapat dengan disiplin, adab susila dan kesopanan yang menjadi teras kepada murid sekolah.

6) Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub (Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup)

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 23 Julai lalu dengan meninggalkan legasi Rahmah yang diperkenalkan sendiri oleh beliau bagi memastikan orang-orang miskin dan susah tidak kelaparan melalui ‘Menu Rahmah’ dan ‘Harga Rahmah’.

Inisiatif tersebut sememangnya mendapat pujian masyarakat apabila mereka dapat membeli makanan dengan harga hanya RM5 merangkumi nasi, satu pilihan protein seperti ayam atau ikan dan sayuran.

Program berkenaan merupakan kerjasama sinergi antara kerajaan bersama pemain industri makanan dan minuman yang diperluaskan ke seluruh negara.

Allahyarham yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar dan menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah sebelum meninggal dunia 23 Julai lalu.

7) Datuk Armizan Mohd Ali (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup)

Selepas lima bulan memangku tugas Allahyarham Salahuddin, Datuk Armizan sah dilantik menerajui kementerian berkenaan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan rombakan Kabinet pada 12 Disember lalu.

Armizan bertukar portfolio daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak serta Tugas-Tugas Khas) kepada Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Dua hari selepas dilantik mengemudi kementerian tersebut, Ahli Parlimen Papar itu diihat meneruskan inisiatif Payung Rahmah yang disifatkannya sebagai agenda nasional negara.

8) Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi)

Rafizi yang mewakili kerajaan komited untuk membantu isi rumah miskin dan bertaraf B40 dengan melancarkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) pada

Menurut beliau, IPR memberi tumpuan kepada penjanaan pendapatan rakyat berbanding sebelum ini kerajaan memberi kelengkapan perniagaan, namun tiada kepastian sehingga wujudnya risiko tergelincir dan kembali ke kategori miskin tegar.

Susulan inisiatif tersebut terutamanya berkaitan mesin layan diri, golongan masyarakat menzahirkan ucapan terima kasih kepada Rafizi dan menyifatkan idea beliau sesuatu yang mudah dan banyak membantu kumpulan B40 menjana pendapatan.

9) Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Undang-Undang dan Reformasi Institusi)

Sejak dilantik sebagai Menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, Ahli Parlimen Pengerang ini komited untuk melakukan reformasi berkaitan perundangan secara berfasa.

Pelaksanaan secara berfasa itu berteraskan konsep kesediaan menerima perubahan dan mengambil kira saranan pelbagai pihak dalam mencorak masa depan Malaysia.

Antara reformasi institusi yang dilakukan adalah meminda Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676).

Kerajaan turut memansuhkan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846), pewujudan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847), selain memansuhkan seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menjenayahkan cubaan membunuh diri melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2 ) 2023.

Pindaan lain yang dilakukan adalah Akta Insolvensi 1967 (Akta 360), pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Bantuan Guaman (Fi dan Sumbangan) 2017.

10) Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)

Nancy dilihat komited melipatgandakan usaha memperkasakan lagi golongan wanita dalam penglibatan golongan tersebut secara produktif di pasaran kerja.

Anak jati dari Kuching, Sarawak itu turut menyifatkan golongan wanita merupakan tulang belakang dalam organisasi sesebuah keluarga dan mereka banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

Susulan pelbagai inisiatif yang dilakukan dan pelantikan semula ketika rombakan kabinet 12 Disember lalu, warga maya menganggap ‘perjuangan’ menteri berusia 62 tahun itu sudah terbukti, sekali gus mendapat kepercayaan Perdana Menteri untuk mengemudi semula kementerian tersebut.

Â