Langkah Dubai: ‘Kita bukan paloi’ – Abang Johari

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg hairan kerana turut dikaitkan dengan Langkah Dubai bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan apabila namanya secara tidak langsung disebut kononnya sebagai bakal Perdana Menteri.

Beliau menegaskan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinannya hanya mempunyai 23 kerusi di Parlimen dan beliau tidak berminat untuk menerima jawatan Perdana Menteri hanya kerana mahu menyertai pakatan bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Apa hal pula nama saya turut dimasuk dalam Langkah Dubai itu (kononnya) nak jadi Perdana Menteri‚Ķadakah patut?

“Saya memang terkejut apabila mereka sebut itu.

“Kita (GPS) sukat baju di badan sendiri, kalau sukatan seperti sekarang kita ikut sukatan itulah kerana GPS hanya ada 23 kerusi (Parlimen), (kita tidak mahu) nanti apabila kita naik (jadi Perdana Menteri) mereka tekan kita pula, sebab itu saya kata, kita bukan paloi (bodoh),” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan mesra ke Dataran Ibu Pertiwi lokasi tiang bendera tertinggi bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Menurutnya, jika benar dakwaan berlakunya Langkah Dubai itu, ia hanya membuang masa dan menjadikan politik negara kelam kabut semula.

Jelasnya, langkah GPS menyokong Kerajaan Persekutuan sekarang berjaya menstabilkan politik negara dan dengan berkat kestabilan itu, Sarawak kini meraih hasilnya apabila ekonomi semakin kukuh.

“Sebab itu GPS mengutamakan kestabilan Kerajaan Malaysia kerana kita perlu bersaing dengan negara jiran yang lain (dalam mengukuhkan ekonomi).

“Kalau (politik) Malaysia kelam kabut, siapa yang hendak membawa duit (melabur) di negara kita dan jika tiada pelaburan, peluang pekerjaan (untuk rakyat) juga kurang,” tambahnya lagi.