Lebih 2,600 penduduk alami gangguan bekalan air 21 hari

Tahun baharu 2024 nampaknya tidak menggembirakan buat ribuan penduduk sekitar Kuala Besut, Terengganu apabila mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selama 21 hari.

Tempoh yang berlarutan tersebut bermula hari ini melibatkan penduduk di 11 kampung.

Gangguan bekalan itu membabitkan Tangki Air Bukit Keluang, maklum Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU).

Ekoran itu, sebanyak 2,670 akaun pengguna terjejas selepas berlaku kebocoran paip bersaiz 600 milimeter (mm) di dasar Sungai Besut berdekatan Jambatan Kampung Lampu.

“Gangguan bekalan air berlaku sementara kerja pembaikan dilakukan kontraktor,” katanya.

Sehubungan itu, SATU memaklumkan, pihaknya menyediakan enam lori tangki dan 49 tangki statik yang ditempatkan di kawasan terjejas.

Menurutnya, keutamaan diberikan kepada premis kritikal, sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

Penduduk di kawasan terlibat boleh mengetahui perkembangan lanjut situasi itu dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi SATU.

Ia termasuk laman sesawang: www.satuwater.com.my, aplikasi MySATU, Facebook, Instagram atau orang ramai boleh menghubungi Careline menerusi talian 1300-88-2111.