Perdana Menteri lancar PADU esok

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bakal melancarkan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) esok.

Majlis peluncuran PADU yang bermula pada 8.30 pagi dijangka bakal dihadiri oleh Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin akan melakukan pembentangan mengenai PADU terlebih dahulu dan satu sesi forum turut diadakan dengan tajuk ‘Memacu Peralihan Melalui PADU’.

Perdana Menteri dijangka melancarkan sistem PADU pada jam 12.45 petang sebelum melakukan lawatan ke pameran.

Sementara itu, Kementerian Ekonomi menjemput orang ramai untuk hadir ke pelancaran PADU, sekali gus menyaksikan bagaimana sistem itu menjadi komponen utama penyasaran semula subsidi dan bantuan kerajaan.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, mereka yang tidak dapat menyertai acara itu boleh mengikutinya secara maya yang akan disiar dalam media sosial bermula pukul 10 pagi.

Katanya, selepas PADU dilancar Perdana Menteri, sistem tersebut akan dibuka kepada setiap rakyat Malaysia untuk mengesahkan atau mengemas kini data isi rumah mereka selama tiga bulan iaitu dari 2 Januari ini hingga 31 Mac depan.

“PADU adalah satu pangkalan data sosioekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan semua data dari jabatan dan agensi kerajaan untuk memberi gambaran seadilnya kedudukan sosio-ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.

“Kewujudan PADU membolehkan kerajaan beralih dari pendekatan B40-M40-T20 dalam menilai kelayakan penerima bantuan kepada pendekatan yang lebih bersasar dan adil untuk mengelakkan keciciran (mereka yang patut dapat tercicir, mereka yang tidak patut dapat menerima bantuan),” dalam kenyataan di Facebooknya sebelum ini.

PADU dibangunkan sepenuhnya penjawat awam dari tiga agensi utama yang terdiri daripada Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang melibatkan kerjasama semua agensi lain.

Malah, PADU dibangunkan dengan menggunakan peruntukan sedia ada dan segala infrastruktur yang telah ada tanpa perlu membuka tender baru kepada pihak swasta.

Justeru, bagi memastikan rakyat yang layak menikmati program bersubsidi bersasar daripada kerajaan dinasihatkan untuk mengemas kini data mereka menerusi PADU dan bagi yang layak tetapi enggan berbuat demikian tidak akan dikenakan sebarang tindakan.

Rakyat berisiko untuk tercicir daripada mendapat bantuan jika tidak membuat pengemaskinian data tersebut memandangkan kerajaan hanya akan menggunakan data sedia ada untuk menentukan kelayakan bagi setiap program bantuan.