Polis gempur 70 pusat hiburan, hampir RM21,000 dirampas

Polis menggempur 70 pusat hiburan di seluruh negara dan merampas wang tunai hampir RM21,000 dalam Op Noda Khas bermula jam 1 hingga 6 pagi tadi.

Seramai 4,568 pengunjung diperiksa dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Bahagian D7 Kontinjen dan Bahagian D7 Daerah di seluruh negara.

Susulan itu, seramai 104 rakyat tempatan dan 373 warga asing ditahan kerana terbabit dalam pelbagai kesalahan berkaitan jenayah dan dadah.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi), Deputi Komisioner Fadil Marsus, seramai 358 pegawai dan 1,425 anggota JSJ dari seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak terbabit dalam semua serbuan tersebut.

“Serbuan dijalankan ke atas 15 pusat hiburan di Johor, Selangor (12), Kuala Lumpur (9), Pahang (8), Pulau Pinang (7), masing-masing tiga di Melaka, Sabah dan Sarawak, dua serbuan masing-masing di Kedah, Negeri Sembilan dan Perak serta satu di Perlis.

“Dari peringkat D7 Bukit Aman, sebanyak empat serbuan dilakukan,” lapor BH.

Fadil berkata, antara kesalahan dikesan ketika serbuan adalah premis beroperasi tanpa lesen hiburan yang sah.

Turut dikesan menggajikan pelayan pelanggan (GRO) warga asing tanpa permit, positif dadah selepas saringan ujian air kencing dijalankan dan tiada dokumen pengenalan yang sah.

“Dalam operasi ini, kita menahan 270 wanita warga asing dari Vietnam, Thailand, Bangladesh, China, Myanmar, Laos, Indonesia dan Filipina serta 103 lelaki warga asing.

“Polis turut merampas wang tunai RM20,912.00, 47 pembesar suara, 20 amplifier, 52 mikrofon, 102 botol minuman keras, 12 dek DJ, dekoder mikrofon dan 154 resit,” katanya.

Jelasnya, Op Noda Khas dilihat dapat memberi impak kepada masyarakat bahawa pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya JSJ memandang serius mengenai elemen pusat hiburan yang menyalahi undang-undang yang ada di seluruh negeri.

“JSJ turut mengalu-alukan sebarang maklumat dari orang awam mengenai sebarang kesalahan jenayah, aktiviti tidak bermoral dan penyalahgunaan dadah membabitkan mana-mana premis hiburan,” ujarnya lagi.