Tahun Baharu 2024: Hayati makna optimisme, jauhi sikap pesimis
Oleh SENATOR DATUK SERI DR. MUJAHID YUSOF RAWA
Hidup dalam era ketidakpastian menjadi norma baharu dunia. Pasca Covid-19 telah mengubah cara kita memahami apa erti kestabilan dan menuntut kita lebih menghayati makna optimisme untuk melangkah ke hadapan.
Kerajaan menjadi sasaran utama dalam mengharapkan optimisme ini, namun rakyat juga telah hilang kepercayaan kepada institusi politik yang bertanggungjawab membentuk kerajaan.
2023 dipenuhi peristiwa berdarah dalam peperangan yang tak sudah-sudah dari Perang Ukraine, Perang Sudan dan melabuh tirai ialah Perang Israel-Palestin.
Keganasan dan peperangan nampaknya belum mahu mengundur diri dan masih menghantui dunia yang dambakan keamanan dan kedamaian.
Genosid di Palestin membangkitkan persoalan sama ada pemimpin dunia masih ada dhomir kemanusiaan dalam jiwa mereka.
Warga dunia pula telah membuat pilihan bersama dhomir kemanusiaan mereka. Dunia perlu difahami dalam alam dualisme antara pendirian rasmi kerajaan dan sikap majoriti rakyat yang tidak mestinya konsisten.
Palestin walau apapun yang diperkatakan, kekal menjadi faktor penyatuan jiwa-jiwa yang menentang pembunuhan dan kebencian baik atas nama kemanusiaan mahupun atas nama agama.
Penduduk Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim apartheid Zionis menjadi simbol keberanian, penentangan dan tugu keazaman yang abadi kepada dunia.
Mereka telah membuktikan kepada dunia dalam kelaziman kekuatan senjata menguasai keadaan, Palestin telah menafikan kelaziman ini dengan menetapkan azam dan semangat adalah lebih kuat dari senjata biarpun nyawa menjadi pertaruhan!
Meminimumkan impak
Pada waktu yang sama, 2024 membawa optimisme kepada keadaan dunia yang lebih mampan melalui pemimpin-pemimpin dunia mengatur strategi kemampanan yang lebih efektif.
Ia menuntut pemimpin tidak lagi cuba melawan kesan perubahan iklim tetapi mengatasinya dengan pendekatan menghalang faktor penyumbang kepada kerosakan dan meminimumkan impak melalui dasar progresif dan kuatkuasa lebih efektif.
Rakyat tidak lagi menjadi pemerhati pasif tetapi perlu bersama dalam menjayakan dasar-dasar pro mampan dalam kepenggunaan mereka seperti mengamalkan budaya kurangkan impak pelepasan karbon, berpindah kepada ekonomi kitaran dan menggunakan tenaga boleh diperbaharui.
Perpindahan budaya ini akan menjadi trend 2024 khususnya pada generasi muda yang lebih selesa dengan pendekatan mesra alam ini.
‘Permainan’ 3R
Di pentas politik lokal, Malaysia akan terus bergelut untuk atasi permainan 3R yang masih tinggi permintaannya.
Tahun 2024 adalah peluang untuk tekadkan azam memerangi pencetus 3R kerana impak negatif yang dibawa 3R kepada asas kesatuan negara ini.
Generasi muda perlu diimbangkan pendedahan kepada toksik 3R ini dengan membudayakan ilmu yang sahih dan amalan berfikir yang rasional lagi bersifat Rahmah.
Untuk itu perjuangan politik RAHMAH perlu diteruskan dan MADANI perlu diakarumbikan.
Tahun 2024 adalah peluang menstabilkan politik dengan pendekatan pemulihan.
Rakyat perlu menolak politik toksik menggugat kestabilan melalui aktor politik yang terdesak mahukan kuasa dengan cara yang jijik lagi memualkan.
Hentikan bersama amalan membeli kuasa dengan taburan duit dan habuan jawatan melalui rakyat menolak pemimpin dan parti yang ‘sakit’ ini.
Hentikan toksik fitnah dalam mengejar cita-cita politik, gunakankah politik beradab dan bukan memberi alasan adat berpolitik.
Marilah kita menyambut 2024 dengan penuh optimism di sebalik keceramukan dan ketidaktentuan.
Pada setiap sesuatu ada hikmahnya untuk kita menjadi lebih baik dan mampu mengatasi permasalahan dengan lebih bijak.
Negara memerlukan kepimpinan yang pandai mengharungi ketidaktentuan dan tajam penglihatannya menembusi disebalik keceramukan ini.
Nabi suka kepada optimisme dan melarang sikap pesimisme.
*SENATOR DATUK SERI DR. MUJAHID YUSOF RAWA merupakan Ahli Dewan Negara juga Timbalan Presiden AMANAH.