Tiada kawasan baharu dalam PRU16 akan datang

Tiada kawasan baharu dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

SPR memaklumkan bahawa tidak ada perancangan untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Negeri Sabah berikutan tamat tempoh lapan tahun yang masih berkuat kuasa.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya sedia ada hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun dari tarikh siapnya kajian terdahulu.

Menurutnya, kajian itu juga boleh dilaksanakan jika terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

“Bagi maksud tersebut, urusan kajian semula persempadanan terdahulu bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu telah selesai dijalankan pada tahun 2018.

“Manakala bagi Negeri Sarawak dan Negeri Sabah pula adalah masing-masing pada tahun 2015 dan tahun 2017,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, sesuatu syor kajian semula persempadanan hanya akan dimulakan apabila terdapat pemberitahuan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri oleh SPR serta disiarkan suatu notis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bahagian II, Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

“SPR tidak merancang untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Negeri Sabah berikutan lat tempoh yang masih berkuat kuasa.

“Manakala bagi Negeri Sarawak pula, SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan tersebut,” ujarnya.

Abdul Ghani berkata, SPR juga bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan Negeri dari semasa ke semasa apabila difikikan perlu.

Katanya, kajian semula persempadanan itu dilaksanakan berlandaskan prinsip dan tatacara ditetapkan di bawah Jadual Ketiga Belas, Bahagian I dan II, Perlembagaan Persekutuan.

“Prinsip berhubung persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya adalah seperti kewajaran memudahkan diadakan semua pemilih agar diberi peluang keluar mengundi semasa pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri.

“Ia turut mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian,” tambahnya lagi.