’10 tahun sudah mati tapi masih guna data sama’ – Rafizi

Pangkalan Data Utama (PADU) adalah sebahagian usaha ke arah kerajaan berteknologi termaju atau GovTech dengan wadah yang selamat, komprehensif dan bersifat hampir masa sebenar.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata menerusi sistem PADU, ia akan membolehkan analitik data yang lebih tepat dapat dihasilkan.

”Ia bukan ada data tahun ini, kemudian 10 tahun orang itu sudah mati tapi masih menggunakan data sama.

”Melalui PADU, apabila ada satu perubahan di satu pangkalan data agensi, ia akan terus dikemas kini dalam pangkalan data utama agar agensi lain akan sentiasa mempunyai data yang terkini mengenai setiap rakyat dan isi rumah,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran PADU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Jelas Rafizi lagi, sistem itu juga menyokong tiga aspek utama yang diberikan penekanan dalam GovTech, iaitu perkhidmatan awam yang mudah diakses, berpaksikan rakyat, transformasi kerajaan digital serta sistem kerajaan yang cekap, telus dan tidak rumit.

Katanya, dengan wujudnya PADU, ia akan membantu penggubalan dasar dan proses pembuatan keputusan yang berpandukan kepada data.

Untuk rekod, PADU dilaksanakan bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan yang memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber.

Selain pemantauan dan penilaian berkesan terhadap pelaksanaan dasar negara, PADU yang merupakan pangkalan data yang berintegrasi dan berpusat, mampu menjimatkan sumber secara signifikan.

Semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU, serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.