Dividen KWSP dijangka setinggi 6.5 peratus
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan kadar dividen pada kadar 5.5 peratus hingga 6.5 peratus.
Kadar tersebut adalah lebih baik berbanding 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Syariah bagi 2022.
Menurut penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, jangkaan positif dalam pengagihan kadar dividen lebih baik 2023 adalah berdasarkan prestasi suku tahun semasa KWSP.
“KWSP memiliki skala ekonomi yang lebih mampan dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM1.1 trilion,” lapor BH.
Sehubungan itu, dana persaraan nasional tersebut mempunyai kelebihan dari segi pilihan pelaburan mahupun proses rundingan dengan pengurus dana luar.
“Namun, disebabkan saiz dana pelaburan yang besar, KWSP perlu bekerja lebih keras untuk mendapat pulangan tinggi dari sudut ringgit, walaupun peratusan yang kecil.
“Misalnya, untuk setiap satu peratus dividen, KWSP dengan aset RM1.1 trilion perlu membayar RM11 bilion dan ini cukup mencabar dalam situasi ekonomi semasa.
“KWSP dijangka memberikan pulangan dividen lebih baik dengan unjuran untuk 2023 adalah antara 5.5 hingga 6.5 peratus,” katanya.
Aimi Zulhazmi berkata, selain laporan prestasi KWSP yang baik untuk setiap suku tahun 2023, ekonomi Malaysia juga terus berkembang tahun lalu.
Â