Duduk diam sahaja tidak cukup, jadilah manusia yang berfikir
Oleh NIK HASYUDEEN
Tepat jam 12.01 pagi, 1 Januari 2024, saya dibangunkan dari tidur oleh letupan mercun dan bunga api yang bertalu-talu.
Ini mengingatkan saya kepada satu ceramah Almarhum Ustaz Siddiq Fadzil yang menyuruh dihantarkan pemain-pemain mercun ke Palestin agar mereka berhadapan dengan benda yang meletup sungguh-sungguh.
Keupayaan mengira masa sehingga ke detik yang paling kecil seperti detik menyambut tahun baharu sebenarnya ialah tanda-tanda kebesaran Allah.
Allah menjadikan bintang, planet dan lain-lain kewujudan untuk bergerak di dalam satu sistem yang tepat sehingga pusingannya menjadi rujukan waktu kita.
Jika kita ingat mata pelajaran Fizik tingkatan 5, daya yang diwujudkan oleh pusingan satu objek dengan satu objek yang lain (daya centripetal) menyebabkan mereka ada orbit masing-masing.
Jika orang Islam yang belajar berkenaan daya centripetal ini tidak nampak akan kebesaran Allah SWT, saya tidak tahu apa lagi bukti yang perlu dibawa ke hadapan mereka?
Di dalam ayat 190 surah Ali Imran, Allah SWT mengaitkan kemampuan untuk nampak penciptaan langit dan bumi serta peredaran malam dan siang dengan tanda-tanda kebesarannya dengan kemampuan berfikir (ulul albab).
Al Quran memberikan pelbagai sifat ulul albab ini di banyak surah-surah yang lain. Ini menunjukkan betapa pentingnya kita menggunakan akal fikiran kita di dalam menjadi hamba Allah yang baik.
Malah, sekiranya kita gila atau hilang kemampuan berfikir, tanggungjawab agama akan terangkat dari kita. Tentunya kewarasan akal ini tidak hanya dicipta Allah untuk kita mengikut manusia lain dengan membuta tuli sahaja.
Malangnya, dari pemerhatian saya, orang-orang agama pun tidak suka ahli masyarakat berfikir.
Ditekankan bahawa orang awam kena ikut sahaja. Kalimah ini semakin diulang-ulangi di ketika ramai orang yang mahu faham mengapa mereka kena buat apa yang mereka buat.
Jika sekadar hujah “ada dalam kitab”, itu hujah yang amat dangkal dan tidak setaraf dengan kemampuan akal yang Allah telah kurniakan kepada kita. Macam iklan Astro dulu-dululah, di dalam kitab (buku) tu “macam-macam ada”.
Keinginan ahli masyarakat untuk memahami punca sesuatu perkara haruslah dihargai. Melainkan orang yang ditanya itu sendiri pun berpegang kepada “ada di dalam kitab” semata-mata.
Apabila nama-nama tokoh dinukilkan berkata itu ini, orang seperti saya akan tanya kembali “betulkah tokoh berkenaan berkata demikian?”.
Sudah beberapa kali saya jumpa di mana tidak ada bukti bahawa kalimah-kalimah yang disabitkan dengan tokoh-tokoh tertentu itu sebenarnya disebutkan oleh mereka.
Di dalam ayat di atas juga ada sains yang jelas. Ini satu lagi masalah besar kita. Oleh kerana orang-orang yang bercakap mengenai agama bukannya pakar sains, saya nampak macam sains ini sengaja diasingkan dengan agama.
Ini menyebakan masyarakat melihat agama di dalam konteks yang amat sempit dan mudah berpuas hati apabila sudah melakukan beberapa amal ibadat dan membiarkan orang lain untuk menjadi unggul di dalam sains dan teknologi.
Jika Whatsapp yang kita gunakan setiap hari tergendala, bolehkah kita mengumpat seperti biasa dengan menyebarkan pelbagai berita yang kita pun tak tahu puncanya?
Jika kita nak berperang untuk membantu saudara-saudara kita yang sedang dilanyak sekarang ini, kita nak beli senjata dari siapa?
Selain dari Turkeyē, ada ke negara Islam lain yang ada kemampuan mengeluarkan senjata yang setara dengan musuh?
Berfikir adalah arahan Allah. Jangan diperkecilkan arahan ini hanya disebabkan kita sendiri yang tidak cukup ilmu.
Jika kita kata puak sekular memisahkan agama dengan dunia, semak dahulu kata dan tingkah laku kita.
Takut-takut perbuatan kita sendiri sama dengan orang-orang yang kita sekularkan itu apabila pelbagai aspek kehidupan dibiarkan untuk diungguli oleh orang lain.
Kemudian, kita marah-marah apabila mereka unggul dan berjaya. Pendekatan agama apakah ini?
Namun, berfikir adalah berat. Apabila kita tahu dan nampak, kita tentunya kena berbuat sesuatu untuk menambah baik keadaan. Jadi, duduk diam sahaja tidak cukup.
Nak kena usaha dan menambah baik inilah mungkin punca mengapa ramai orang memilih untuk memajakkan otak masing-masing kepada orang lain. Senang. Ikut sahaja.
Semoga Allah SWT menjadikan tahun 2024 ini sebagai permulaan bagi kita untuk hebat dan unggul di dalam bidang-bidang intelektual tinggi pula.
Bukankah di dalam ayat 60 surah Al Anfal kita disuruh untuk bersedia dengan kekuatan perang yang mengerunkan musuh?
Di era ini, orang berperang dengan pelbagai kelengkapan berteknologi tinggi.
Sudahkah kita memiliki teknologi berkenaan untuk memenuhi arahan ayat ini? Ini memerlukan pemikiran.