Elaun bulanan imam diselaraskan Jakim

Kadar elaun bulanan RM850 yang diterima imam di seluruh negara telah diselaraskan jumlahnya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai bayaran asas sahaja dan sebarang tambahan tertakluk kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut Dekan Fakulti Syariah dan Undang Undang Universiti Sains Islam Antarabangsa (USIM), Profesor Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, ia kerana hal ehwal dan urusan agama Islam terletak di bawah bidang kuasa pengurusan negeri serta wilayah persekutuan, termasuk pentadbiran masjid.

Sehubungan itu, ujarnya, semua pihak perlu menerima ketetapan tersebut dan berlapang dada atas kepelbagaian yang diamalkan kerajaan negeri masing-masing.

“Setahu saya, elaun memang telah diselaraskan cuma perbezaan yang ada hanyalah mengenai jumlah tambahan diberikan oleh negeri.

“Perlu diingatkan bahawa kelayakan elaun ini adalah untuk imam yang dilantik oleh Jakim dan berdaftar sahaja.

“Namun, sekiranya ada kemampuan Jakim menambah jumlah elaun yang dibayar, pastinya hal tersebut lebih baik sesuai dengan keadaan ekonomi semasa,” tambahnya lagi.