Kutipan tol di WCE tengah malam ini

Setelah pengguna diberikan tol percuma selama 42 hari di Plaza Tol Assam Jawa Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), Kuala Selangor, kini caj akan mula dikenakan di plaza tol berkenaan mulai tengah malam ini.

WCE Berhad memaklumkan, kutipan tol di lebuh raya berkenaan adalah sepenuhnya secara elektronik.

“Jadi, kami menasihatkan pengguna untuk memastikan baki e-wallet dan kad Touch n Go anda mencukupi.

“Sila pastikan anda menggunakan lorong pembayaran yang betul. Orang ramai boleh memuat turun aplikasi WCE App untuk maklumat lebih lanjut,” kata WCE itu menerusi satu kenyataan di Facebook syarikat tersebut.

Menurut WCE Berhad, kadar tol untuk setiap kelas kenderaan adalah berdasarkan kadar tol yang ditetapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Berdasarkan info grafik daripada WCE, kadar tol dikenakan di Plaza Tol Bandar Bukit Raja Selatan mengikut kelas kenderaan iaitu kereta (RM5.05), lori (RM10.11), treler (RM15.16), teksi (RM2.53) dan bas (RM3.79).

Bagi Plaza Tol Bandar Bukit Raja Utara pula iaitu kereta (RM4.12), lori (RM8.24), treler (RM12.36), teksi (RM2.06) dan bas (RM3.09).