Menteri benarkan murid mangsa banjir pakai baju biasa ke sekolah

Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan murid-murid yang terjejas akibat bencana banjir, memakai pakaian biasa untuk hadir ke sesi pembelajaran di sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek menyifatkan kebenaran itu adalah sisi pendidikan manusiawi yang mesti diambil kira dalam konteks memastikan akses mereka ke sekolah untuk pendidikan, tetap dijamin walaupun terjejas dengan situasi banjir.

”Pihak sekolah perlu memaklumkan kepada murid yang kediamannya terjejas banjir, bahawa mereka boleh datang menggunakan pakaian biasa jika kesemua pakaian musnah ketika bencana itu melanda.

”Bagi anak-anak yang terjejas dengan banjir yang mana pakaian mereka juga hanyut atau ‘total loss’ sehingga menyebabkan mereka tiada pakaian untuk ke sekolah, kita bersetuju mereka boleh datang ke sekolah menggunakan pakaian biasa.

”Asalkan (mereka) berpakaian, mereka boleh datang dengan pakaian yang sesuai,” katanya pada sidang media khas di kementeriannya berkaitan situasi terbaharu institusi pendidikan KPM yang terkesan akibat bencana banjir.