‘Moga yang terkesan diberi kesabaran’ – PM

Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rasa simpati dengan tragedi gempa bumi kuat yang melanda wilayah Ishikawa di tengah Jepun.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menerusi Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Jepun sedang memantau rapat sebarang perkembangan terkini mengenai bencana itu.

“Moga yang terkesan diberi ketabahan dan kesabaran dalam waktu sukar dan mencabar ini termasuk rakyat kita di sana,” katanya menerusi perkongsian di Facebook beliau malam tadi.

Sebanyak 29 gempa bumi dengan magnitud maksimum 7.6 berlaku di wilayah Ishikawa dan Niigata di barat Jepun dalam tempoh dua jam semalam.

Menurut data yang dianalisis oleh Sputnik, gegaran bawah tanah bermula pada pukul 4.06 petang waktu tempatan (07:06 GMT).

Sementara itu, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) menamakannya Gempa Bumi Semenanjung Noto 2024.

Susulan itu, amaran tsunami dan arahan pemindahan penduduk dikeluarkan bagi sepanjang kawasan pantai barat Jepun dengan gelombang tsunami kecil sampai ke pantainya.

Setakat semalam, terdapat enam mangsa tertimbus di Wajima, wilayah Ishikawa selepas rumah mereka runtuh selain kebakaran besar-besaran turut berlaku berikutan gempa.

Kebakaran juga berlaku dalam sebuah transformer di stesen janakuasa nuklear Shika milik Syarikat Kuasa Elektrik Hokuriku di Wilayah Ishikawa tetapi api telah dipadamkan dan tiada kesan ke atas loji kuasa nuklear itu.

Dalam hal berkaitan, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas akibat bencana itu.

Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo di talian +81-3-3476-3840 atau +8180-3913-3840 (kecemasan) dan e-mel mwtokyo@kln.gov.my atau consular.tyo@kln.gov.my.