PADU berpandukan pendapatan boleh guna bersih, elak rakyat tercicir
Sistem dibangunkan Kerajaan Perpaduan iaitu Pangkalan Data Utama (PADU) akan dapat membantu menyediakan pengukuran kedudukan sosioekonomi rakyat yang lebih tepat.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan bahawa PADU juga sekali gus mengelakkan masalah keciciran berdasarkan pendekatan pendapatan boleh guna bersih.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran PADU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Jelasnya, sebelum ini segala mekanisme kerajaan adalah berdasarkan pendapatan kasar sahaja dan dengan wujudkan sistem PADU, ia membolehkan pihak kerajaan mengambil kira beberapa lagi aspek.
”Ia adalah mengambil kira jumlah tanggungan dan bilangan isi rumah, kos sara hidup mengikut lokasi, jarak ke tempat kerja, serta pemilikan aset sedia ada seperti rumah, kenderaan dan juga tanah.
”Ini akan menyelesaikan masalah yang sering berlaku sebelum ini contohnya, orang datang ambil bantuan kerajaan tetapi menggunakan kereta Mercedes.
”Oleh kerana dalam sistem PADU ini akan disertakan dengan maklumat pemilikan kenderaan contohnya daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kita boleh menentukan terus apabila seseorang itu mengatakan pendapatan dia RM1,000 tetapi mempunyai 2-3 biji kereta mewah yang didaftarkan atas nama sendiri atau ahli keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi menyifatkan sistem PADU akan membolehkan kerajaan beralih daripada konsep pendapatan kasar B40, M40 dan T20 kepada pendekatan yang melihat kepada kewajaran pemberian bantuan berdasarkan kriteria yang ditetapkan.
Â