PM lancar sistem PADU pagi ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU), iaitu sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah membabitkan warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin akan membuat pembentangan mengenai PADU dalam majlis bermula jam 8.30 pagi hingga 2 petang.

Program kemudiannya disusuli dengan forum bertajuk ‘Memacu Peralihan Melalui PADU’, sebelum Anwar merasmikan sistem berkenaan pada jam 12.15 tengah hari.

Terdahulu, Kementerian Ekonomi pada laman Facebook memaklumkan, sistem PADU akan dibuka secara rasmi kepada seluruh rakyat Malaysia selepas majlis pelancaran berkenaan.

PADU merupakan sistem data paling besar pernah dibangunkan dengan menggunakan sepenuhnya kepakaran penjawat awam.

Sistem itu berperanan sebagai penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat dan komprehensif yang membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan.

Menerusi pangkalan data utama negara itu juga, dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data dapat digubal, selain membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.