Zahid tahu Langkah Dubai seawal penerbangan ‘geng tebuk atap’

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menyedari rancangan sulit dipanggil ‘Langkah Dubai’ untuk menggugat kedudukan kerajaan tetapi menyifatkan usaha itu hanya membuang masa.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menegaskan sebarang langkah menukar kerajaan menerusi akuan bersumpah (SD) bukan satu cara yang baik.

“Laporan dari segi perisikan memang kami peroleh seawal penerbangan mereka sampai ke tempat itu (di Dubai).

“Laporan selepas itu kami peroleh juga, tapi pada hemat kami, langkah itu hanya membuang masa.

“Tidak ada langkah yang mendasarkan keputusan itu hanya kepada akuan bersumpah dan saya fikir langkah yang mereka lakukan bukan satu langkah baik kerana mereka sudah lakukan ‘tebuk atap’ ini beberapa kali,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Sehubungan itu, Zahid yang juga Presiden UMNO mengingatkan pemimpin yang terbabit khususnya dari parti tersebut perlu menyedari mereka terikat dengan undang-undang bertukar parti serta keputusan dasar parti.

“Kita harus husnuzon dalam perkara yang begini, bahawa apa pun langkah yang dilakukan, mereka harus melihat terdapat akta anti lompat parti yang mereka sedia faham.

“Ia memerlukan keputusan besar kepada parti dan ia membabitkan keputusan secara ‘en bloc’.

“Apa yang penting, apabila rakyat sudah beri mandat kepada parti dan dukungan kepada ahli-ahli Parlimen dipilih dan kini kita dapati Kerajaan Perpaduan ada sokongan dua pertiga, ertinya rakyat harus diberikan keadilan supaya politik dimantapkan,” tegasnya lagi.