ASEAN promosi ketersambungan, daya tahan pada 2024
Laos yang mempengerusikan ASEAN mulai 1 Januari akan memanfaatkan peluang dan cabaran yang dibawa peranan baharunya itu, kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar, Saleumxay Kommasith.
Beliau berkata, Laos yang mempengerusikan ASEAN buat kali ketiga, akan memberi tumpuan kepada usaha untuk menggalakkan pembangunan komuniti ASEAN, mengukuhkan ketersambungan dan daya tahan blok itu di bawah tema “ASEAN: Meningkatkan Ketersambungan dan Daya Tahan (ASEAN: Enhancing Connectivity and Resilience)”, menurut agensi berita Vietnam (VNA).
Mengenai kesalinghubungan ASEAN, ia bukan sahaja selaras dengan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025, bahkan akan menyumbang kepada merealisasikan visi Parti Lao dan Negara dalam mengubah Laos daripada sebuah negara yang dikelilingi daratan kepada sebuah negara dengan ketersambungan baik dengan rantau itu.
“Dalam konteks persaingan yang semakin sengit di dunia, ASEAN perlu mengukuhkan daya tahan. Tanpanya, peranan ASEAN di rantau ini dan dunia akan terjejas.
Mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN 2024, Laos juga akan menyertai negara-negara anggota kumpulan itu dalam menggalakkan kerjasama dalam ketiga-tiga tonggak masyarakat, berusaha untuk merapatkan jurang pembangunan di ASEAN, menggalakkan ketersambungan infrastruktur, integrasi ekonomi dan pertukaran rakyat dengan rakyat, serta mengekalkan peranan utamanya dalam kerangka serantau serta mengukuhkan hubungan dengan rakan kongsi,” katanya.
Kommasith berkata, selaku Pengerusi ASEAN, Laos boleh meningkatkan peranan utamanya dalam ASEAN selain meningkatkan kedudukannya di peringkat serantau dan antarabangsa, lapor VNA.
Selain itu, ia juga akan mewujudkan persekitaran yang menggalakkan untuk Laos mempromosi imej negara dan menarik lebih ramai pelancong domestik dan asing.
Penggiliran Laos sebagai Pengerusi ASEAN itu juga bertepatan dengan “Tahun Melawat Laos”, yang menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 4.6 juta pelawat.