Bezza rosak enjin: Perodua tawar pilihan beli semula kereta

Akhirnya Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) tampil mengeluarkan kenyataan berhubung nasib seorang pelanggan yang berdepan kerosakan Bezza baru dibeli dalam tempoh tidak sampai lapan jam.

Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd, JH Rozman Jaafar, berkata merujuk kepada aduan yang diterima daripada pelanggan itu, PERODUA sudah berkomunikasi dengannya sejak Oktober tahun lalu.

“Sejak itu, kami telah mengambil beberapa langkah untuk menyelesaikan isu terbabit termasuklah dengan menawarkan kereta sementara untuk digunakan serta menawarkan pilihan untuk membeli semula kereta berkenaan.

“PERODUA juga telah memberi jaminan kepada pelanggan berkenaan untuk mengutamakan kes beliau dan kami juga ingin menepis dakwaan bahawa tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak syarikat untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Menurutnya, siasatan menyeluruh berhubung isu tersebut sedang dijalankan dan pihak PERODUA akan berkongsi maklumat lanjut mengenainya selepas ia selesai.

“Kami memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang timbul dan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan,” kata JH Rozman.

Sebelum ini, tular kisah Perodua Bezza yang baru dibeli seorang kerani rosak dalam tempoh tidak sampai lapan jam.

Namun, Nagakanni Subramaniam terpaksa membayar pinjaman bulanan ‘kereta baharunya’ itu sebanyak RM537 sebulan, walaupun kenderaan itu kini tersadai di pusat servis.

Nagakanni, 31, berkata beliau membeli kereta itu dari sebuah pusat jualan kenderaan di Segamat, jam 11 pagi, pada 17 Oktober lalu.

Beliau berkata, kira-kira lapan jam kemudian ketika mahu menghidupkan kereta pada jam 7.40 malam, kenderaan itu tidak dapat dihidupkan.

“Pada 18 Oktober, kereta saya dibawa ke pusat servis di Segamat dan mekanik di sana memaklumkan bahawa enjinnya telah rosak.

“Berikutan kejadian itu, saya memohon mendapatkan gantian kereta baharu sebelum diminta menunggu keputusan dari ibu pejabatnya yang memerlukan tempoh dua minggu hingga sebulan.

“Pada 9 November pula, individu dikenali sebagai Sufian dari ibu pejabat Perodua menghubungi saya, memaklumkan berdasar siasatan awal, enjin kereta itu rosak disebabkan ada benda asing seperti gula dan menyatakan bahan itu tidak digunakan oleh pengeluar kereta itu,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Nagakanni mendakwa, dia tidak pernah membawa sebarang makanan atau gula di dalam tempoh lapan jam selepas menerima kereta itu apatah lagi mengusik bahagian enjin kenderaan itu.

Selanjutnya, Nagakanni berkata, dia sekali lagi dihubungi Sufian itu dan dimaklumkan untuk membuat pinjaman baharu bagi mendapatkan kereta yang baharu, pada 15 November lalu.

“Saya kata saya boleh buat pinjaman baharu hanya selepas dia selesaikan pinjaman lama saya terlebih dahulu kerana sehingga hari ini saya masih bayarkan pinjaman kereta yang rosak itu.

“Namun pada 4 Disember, jurujual dari pusat jualan di Segamat meminta dokumen daripada saya untuk membuat pinjaman kedua tetapi saya menolak permintaan itu kerana pinjaman pertama saya masih belum diselesaikan.

“Sejurus itu pada 8 Disember, khidmat pelanggan memberitahu bahawa cadangan akhir belum dipersetujui dan ibu pejabat sedang menyelidik kesilapan dalaman dan mereka belum boleh beri persetujuan hitam putih untuk tukar kereta saya dengan yang baharu,” ujarnya lagi.