Kerajaan MADANI fokus pertingkat pelabur dalam, luar negara pada 2024

Kerajaan MADANI memberi fokus terhadap aspek ekonomi sepanjang 2024, termasuk meningkatkan pelabur dalam dan luar negara untuk melabur di Malaysia.

Amanat itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada mesyuarat Jemaah Menteri kali pertama tahun ini.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dalam mesyuarat hari ini, Anwar berkongsi pandangan mengenai fungsi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu diselaraskan.

“Bagi 2024, fokus kerajaan adalah aspek ekonomi dan yang dilihat menjadi keutamaan ialah mendorong pelabur dalam dan luar negara untuk membuat pelaburan di Malaysia.

“Perdana Menteri juga memberi beberapa pandangan mengenai fungsi yang akan dimainkan oleh GLIC dan ini penting bukan hanya untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dalam negara tetapi ada sedikit penyelarasan yang perlu dilakukan,” katanya pada sidang media hari ini.