Novugen satu-satunya pengeluar ubat dari Malaysia diiktiraf AS

Syarikat Novugen Oncology Sdn Bhd yang menghasilkan ubat onkologi menjadi syarikat pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang berjaya mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat (USFDA).

Onkologi adalah bidang perubatan berkaitan kanser.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengucapkan tahniah di atas kejayaan syarikat tersebut mendapat pengiktirafan dari Amerika Syarikat untuk menghasilkan ubatan berkualiti tinggj.

“MITI telah mengenalpasti lima sektor utama bagi menarik pelaburan berimpak tinggi iaitu elektrik dan elektronik (E&E), farmaseutikal, ekonomi digital, aeroangkasa dan kimia.

“Sehubungan itu saya ingin mengucapkan tahniah kepada syarikat Novugen Oncology Sdn Bhd di atas kejayaan mereka mendapat kelulusan daripada USFDA bagi kemudahan pembuatannya yang mengkhususkan dalam ubat onkologi.

“Dengan kelulusan ini Novugen menjadi satu-satunya syarikat di Asia Tenggara yang diitiraf oleh USFDA untuk menghasilkan ubatan berkualiti tinggi bagi pasaran Amerika Syarikat,” katanya dalam satu video dikongsi di Instagram.

Dalam pada itu, Zafrul berharap agar lebih banyak syarikat farmaseutikal yang berpusat di Malaysia dapat mengikuti jejak langkah Novugen bagi terus memajukan sektor farmaseutikal dalam negara.

Syarikat Novugen mengkomersialkan dua produk di AS dengan kelulusan Permohonan Singkatan Dadah Baharu (ANDA) daripada USFDA untuk tablet Abiraterone 250 miligram (mg) dan 500mg serta Midodrine 2.5mg, 5mg dan 10mg.

Novugen adalah anak syarikat milik penuh firma berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), SciTech International.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri penjagaan kesihatan, syarikat itu dilengkapi dengan keupayaan strategik perniagaan penjagaan kesihatan dan pembangunan kemudahan penjagaan kesihatan berkelas dunia.

Novugen menghasilkan produk akhir bersepadu secara vertikal ke peringkat antarabangsa menerusi kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembuatannya yang terletak di seluruh dunia.

Kemudahan pengeluarannya di Malaysia yang terletak di Bandar Enstek, Negeri Sembilan menyediakan sambungan perniagaan mantap ke pasaran serantau dengan lokasi yang kurang lima kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

BACA JUGA Kerajaan MADANI fokus pertingkat pelabur dalam, luar negara pada 2024