Sanusi sahkan PN ada rancangan tumbangkan Kerajaan MADANI

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat ditumbangkan dalam tempoh terdekat ini.

Menteri Besar Kedah itu turut mengesahkan wujud rancangan di pihak Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan lantaran kelompongan Akta Antilompat Parti.

“Tentu mereka takut benda nak hilang. Kita yang nak pergi ambil memang seronok kalau berlaku. Saya yakin akan berlaku, takkan bertahan lima tahun.

“Mereka akan tumbang melalui peralihan sokongan. Saya tahu bila tapi tak boleh beritahu. Siapa tidur tak lena datang ambil ubat di rumah saya, saya jampi air secawan.

“Apa masalah? Dahulu mereka namakan Langkah Sheraton. Bukan langkah Sheraton, situ pergi makan saja. Semua benda berlaku sebelum itu,” katanya.

Sanusi dalam sidang media di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini berkata, rancangan PN menumbangkan Kerajaan Persekutuan itu dirangka berdasarkan kelompongan Akta Antilompat Parti yang digunakan kerajaan MADANI untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen PN.

“Saya rasa apa-apa proses yang dibenarkan undang-undang boleh dilakukan mengikut yang dibenarkan Perlembagaan kerana dibenarkan bagi menyatakan sokongan kepada sesiapa.

“Yang lima orang (Ahli Parlimen PN) sokong (kerajaan) tak ada siapa kata apa, (malah) mereka seronok.

“Kalau sokongan lima orang itu digambarkan sebagai berperlembagaan berdasarkan demokrasi, tindakan sebaliknya juga biasa sahaja.

“Mereka boleh ambil lima, kalau kita boleh ambil 10 takkan nak marah? Sokong dia tak apa, tak sokong dia takkan tak boleh?

“Tentu boleh juga,” kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu lagi.

BACA JUGA Mahathir berbaik dengan musuh politik