Sidang pertama Dewan Rakyat 26 Februari
Sidang pertama Dewan Rakyat bermula 26 Februari hingga 27 Mac iaitu selama 19 hari.
Mengikut portal rasmi Parlimen Malaysia, Dewan Rakyat akan bersidang selama 69 hari pada tahun ini.
Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada 26 Februari bermula dengan Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ia disusuli dengan Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja pada 27 Februari, manakala penggulungan oleh menteri-menteri berkaitan bermula 11 hingga 14 Mac.
Bermula 18 hingga 27 Mac pula, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan akan berlangsung dengan Dewan Rakyat ketika itu bersidang serentak dengan Dewan Negara.
Sementara itu, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 dijadualkan selama 15 hari iaitu dari 24 Jun hingga 18 Julai.
Ini kemudiannya disusuli dengan Mesyuarat Ketiga selama 35 hari iaitu 7 Oktober hingga 5 Disember.
Pembentangan Belanjawan 2025 pula dijadualkan pada 11 Oktober pukul 4 petang.
Sementara itu, Persidangan Dewan Rakyat berlangsung pada Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Bagi sesi petang pula pada pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang.