Warga dunia sokong tindakan Afrika Selatan
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, warga dunia turut memberi tekanan kepada negara masing-masing untuk turut sama menyokong permohonan Afrika Selatan terhadap Israel.
“Kementerian Luar menyokong tindakan Afrika Selatan untuk heret Israel ke ICJ mendapat reaksi amat positif daripada pemerhati antarabangsa.
“Ramai mengulas memberi tekanan kepada negara mereka untuk turut serta menyokong tindakan Afrika Selatan,” katanya di platform X.
Semalam, Malaysia menyambut baik permohonan Afrika Selatan untuk memulakan prosiding terhadap Israel di ICJ berhubung keganasan rejim pembunuh itu terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.
Prosiding terhadap Israel itu dibuat mengikut Konvensyen 1948 membabitkan Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid (Genoside Convention).
Desakan oleh Afrika Selatan itu termasuk permintaan supaya ICJ mengambil langkah sementara atau jangka pendek supaya mengarahkan Israel menghentikan jenayah genosid di Gaza.
Tindakan itu bagi melindungi daripada lebih banyak kemudaratan terhadap hak-hak rakyat Palestin mengikut Konvensyen Genosid, dan bagi memastikan pematuhan Israel terhadap kewajipannya berdasarkan Konvensyen itu.
Menurut Wisma Putra, tindakan undang-undang terhadap Israel di ICJ merupakan langkah yang tepat dan tegas ke arah kebertanggugjawaban undang-undang terhadap kekejaman Israel di Gaza dan Wilayah Palestin yang diduduki (OTP) secara umum.
“Malaysia menggesa Israel supaya memenuhi kewajipannya mengikut undang-undang antarabangsa dan menghentikan segera kekejaman terhadap rakyat Palestin,” kata Wisma Putra.
Malaysia mengulangi gesaannya supaya penyelesaian berkekalan dilaksanakan dengan membenarkan Palestin mempunyai negara berdaulat dan merdeka sendiri berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmuqadis Timur sebagai ibu kotanya, menurut kenyataan itu.
Lebih 21,000 penduduk Palestin terkorban dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala lebih 50,000 cedera akibat pengeboman rejim Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober.
Â