Ada individu guna identiti Dzulkefly buat akaun Facebook palsu

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan rasa kesal berikutan kewujudan akaun Facebook palsu yang menggunakan namanya.

Menerusi perkongsian di Facebook, pentadbir halaman Ahli Parlimen Kuala Selangor itu memaklumkan, satu aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah pun dibuat berhubung akaun palsu tersebut.

Katanya, akaun palsu itu dibuat dengan tujuan yang meragukan dan sangat dikesali.

“Tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mewujudkan akaun palsu menggunakan identiti YBMK dengan tujuan yang meragukan sangat dikesali.

“Satu aduan rasmi kepada MCMC telah dibuat untuk tindakan selanjutnya pihak berkuasa terhadap penyalahgunaan identiti yang boleh mengelirukan orang ramai.

“Sila abaikan sebarang ‘engagement’ daripada penama akaun berkenaan serta-merta bagi mengelakkan sebarang kebocoran dan penyalahgunaan maklumat,” katanya.

Dzulkefly turut memuat naik dua keping gambar yang menunjukkan akaun palsu menggunakan gambar beliau bersama bekas menteri pendidikan yang juga bekas ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.

Menerusi salah satu tangkap layar dikongsi, pemilik akaun palsu tersebut didapati cuba memperdaya orang awam menerusi mesej dengan meminta nombor telefon peribadi mangsa dengan alasan ingin menjemput masuk ke dalam kumpulan ‘update info Malaysia’.

Harapandaily mendapati hantaran pertama yang dibuat adalah pada 25 Disember lalu dan akaun palsu tersebut memiliki 54 rakan setakat ini.

BACA JUGA Malaysia kutuk letupan bom di Iran, desak pengganas diheret ke muka pengadilan