Ada yang persoal kempen Geng Subuh Macam Jumaat, ini reaksi Alif Satar
Ada juga segelintir pihak yang mempersoal inisiatif pelakon dan penyanyi, Alif Satar, dalam mengajak umat Islam mengimarahkan masjid sejak November lalu melalui kempen Geng Subuh Macam Jumaat.
Suara sumbang itu muncul susulan kempen itu berjaya menarik sehingga kira-kira 3,000 jemaah solat Subuh di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara pada 1 Januari lalu.
Namun, pelantun lagu ‘Lelaki Seperti Aku’ itu tidak mahu memikirkan soal pandangan negatif segelintir pihak terhadap kempen murni berkenaan.
“Saya tidak peduli langsung sebab tahu apa yang dibuat ini, iaitu ajak ramai-ramai (solat secara berjemaah di masjid)… Dua tiga orang ini saya tak kisah.
“Saya fikir apabila buat gerakan sebegitu, ramai yang ikut. Tidak ada kena mengena dengan kepentingan diri.
“Apa yang saya buat memang kerana Allah SWT,” kata selebriti berusia 33 tahun itu, dipetik BH.
Terdahulu, ada yang menganggap mereka yang menyertai kempen #GengSubuhMacamJumaat hanya mahu bertemu selebriti.
Walau bagaimanapun, ramai yang mempertahankan Alif dan menyifatkan inisiatif itu sebagai motivasi agar umat Islam menunaikan solat berjemaah di masjid.
Kempen #GengSubuhMacamJumaat tercetus apabila Alif rasa ‘tertembak’ mendengar ceramah seorang ustaz berkaitan pembunuhan Palestin oleh rejim zionis Israel.
Penceramah tersebut mempersoal bagaimana hendak memerangi Israel jika takut mengantuk untuk menunaikan solat di masjid.
Sebelum ini, Alif kerap menggalakkan orang ramai keluar bersenam jam 5.30 pagi sebelum menunaikan solat Subuh.
Atas kesedaran selepas mendengar ceramah pendakwah berkenaan, Alif kemudiannya menyeru pengikutnya untuk bertukar sedikit dengan solat Subuh berjemaah terlebih dahulu.
Mengulas lanjut, Alif menyarankan umat Islam mendirikan solat subuh secara berjemaah di masjid berhampiran kawasan masing-masing.
“Jom ajak semua orang di sekeliling kita untuk bangun solat subuh secara berjemaah di masjid berhampiran masing-masing.
“Insya-Allah, saya boleh sertai di mana-mana masjid nanti,” kata bekas peserta Ironman Langkawi yang berjaya berenang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180 km dan berlari 42 km dalam tempoh 15 jam 6 minit 50 saat pada 2019 itu lagi.
BACA JUGA Malaysia kutuk letupan bom di Iran, desak pengganas diheret ke muka pengadilan
Â