Danial mahu bawa perubahan sosioekonomi di DUN Batu Tiga

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron merancang untuk melihat berlakunya ‘angin perubahan’ sosioekonomi dari segi perumahan dan pekerjaan di kawasan diwakilinya.

Beliau berkata, angin perubahan yang berada dalam radarnya itu adalah daripada segi mahu membangunkan semula perumahan yang sudah terlalu lama.

”Kemudian kita melihat juga kepada aspek-aspek yang boleh membantu golongan masyarakat di kawasan ini (DUN Batu Tiga) kerana dengan wujudnya perumahan baharu dan kuasa ekonomi baharu, populasi masyarakat akan meningkat.

”Di Batu Tiga ini, rata-rata penduduknya adalah daripada generasi pertama yang membeli rumah di sini 30 tahun lalu.

“Mereka masih tinggal di sini, tetapi anak-anak mereka sudah berpindah ke kawasan bandar Shah Alam atau pun ke luar,” katanya ketika diwawancara Harapan Daily, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Tiga, di Shah Alam, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai rancangan dan impiannya untuk melihat sesuatu yang baharu di kawasan berkenaan apatah lagi Batu Tiga telah dibangunkan sejak awal 1970-an.

Mengulas lanjut, Danial yang juga Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional berkata, beliau turut mengimpikan untuk melihat penduduk Batu Tiga bekerja di kawasan tersebut kerana kuasa ekonomi terletak di DUN itu.

”Selain kawasan kilang yang pekerjanya terdiri daripada orang luar, saya turut memasang impian untuk melihat rakyat Batu Tiga sendiri yang bekerja di sini kerana kuasa ekonomi kita terletak di DUN ini.

”Kalau boleh, saya nak lihat Batu Tiga ini mempunyai ekonominya sendiri. Saya periksa dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), kita ada mungkin lebih daripada 300 nama besar dalam industri yang berada dalam DUN ini.

”Kenapa tidak anak-anak muda hari ini mula memasang impian dengan belajar dalam bidang tertentu, kemudian mereka mencari rezeki di sini dan tidak perlu ke luar kawasan seperti ke Kuala Lumpur untuk bekerja.

”Namun, semua itu kita perlu sokong dengan kediaman dan infrastruktur, kemudian barulah mereka akan rasa lepas belajar mahu bekerja di Shah Alam.

“Itu antara impian-impian saya,” ujar beliau yang juga merupakan anak kepada pelakon dan pelawak popular, Allahyarham Harun Salim Bachik.