Pak Belang Kenering dihalau ke habitat asalnya

Pak Belang yang dikenali sebagai Harimau Kenering kini telah dihalau masuk ke habitat asalnya selepas dilihat berkeliaran di Kampung Kubang dan Kampung Kenering, Lenggong, Perak sebagaimana yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan kehadiran seekor harimau belang di Kampung Kenering itu, lapor Astro Awani.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya telah membuat siasatan di lokasi berkenaan malam tadi.

Sehubungan itu, katanya, tindakan telah diambil untuk menghalau harimau berkenaan supaya masuk semula ke habitatnya di Hutan Simpan Papulut.

“Kita buat tindakan halau dengan melepaskan tembakan ke udara dan membakar mercun.

“Kita harap ia masuk semula ke habitatnya di Hutan Simpan Papulut yang berhampiran dengan lokasi aduan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular di media sosial seorang pemuda dari Kampung Kenering terserempak dengan seekor harimau ketika dalam perjalanan hendak ke kedai makan di Kampung Kenering.

Ekoran daripada itu, penduduk Kampung Kenering dan Kampung Kubang melahirkan kebimbangan ekoran kehadiran harimau di kawasan tersebut yang dikatakan dikesan sejak sebulan lalu.

Menurut hantaran seorang penduduk di laman Facebook, kelibat harimau dikesan petang semalam berhampiran rumah salah seorang warga Kampung Kubang apabila seekor anjing didapati mempunyai bekas cakaran binatang buas tersebut.

Bahkan, dia turut mendakwa penduduk Kampung Kuala Kenering terserempak dengan harimau malam ini dan masalah itu telah berlanjutan di kedua-dua kampung berkenaan sejak Disember lalu.

Yusoff berkata, pihaknya akan memasang perangkap untuk menangkap harimau tersebut hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan pihaknya akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa, lapor media itu.