Kes keluarga pengantin masak sendiri, polis cari jurusaji ‘ghaib’

Seorang wanita yang disyaki terbabit dalam penipuan urusan katering masih giat dikesan pihak polis.

Wanita terbabit, Fauziah Abdul Hamid, 40, beralamat terakhir di Taman Alam Budiman, Shah Alam, Selangor.

Sebelum ini, tular kisah sebuah keluarga pengantin perempuan di Bandar Seri Jempol pada 24 Disember lalu yang terpaksa memasak sendiri juadah untuk tetamu selepas pihak jurusaji terbabit tidak memunculkan diri.

Katerer ARC Catering itu juga didakwa telah menipu ramai orang, malah vendor pun kena ‘scam’ apabila bayaran tidak dibuat walaupun kerja sudah dilakukan.

Semakan polis melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat jurusaji itu didaftarkan atas nama suami kepada wanita berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superitenden Hoo Chang Hook, usaha mendapatkan keterangan suami suspek juga tidak berhasil.

Lelaki berkenaan dipercayai turut menghilangkan diri.

“Setakat ini, kita ada mendapatkan maklumat daripada saudara maranya bagi mengesan suspek.

“Justeru, kami meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan suspek berusia 40 tahun itu dengan alamat terakhir dari Taman Alam Budiman, Shah Alam, Selangor,” lapor Sinar Harian hari ini.

Jelasnya, maklumat berkenaan boleh disalurkan kepada Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, Sarjan Norhisham Zulkifli di talian 017-6219957 atau 06-4582222 sambungan 102.

Terdahulu, pengantin perempuan telah membuat pembayaran sebanyak RM13,200 kepada pihak jurusaji yang berurusan secara dalam talian bagi menyediakan hidangan untuk 1,000 tetamu.

Mangsa membuat tiga kali pembayaran secara berperingkat secara dalam talian kepada seorang perancang perkahwinan dari Shah Alam.