Letupan di Iran: Hamas kutuk, AS anggap Israel tidak terlibat

Kejadian letupan berkembar berhampiran kubur komander tentera yang dibunuh, Qasem Soleimanidi bandar Kerman di Iran semalam mengakibatkan sekurang-kurangnya 103 orang terbunuh.

Susulan itu, Hamas menerusi mesej yang dikirim melalui aplikasi Telegram,
mengutuk serangan pengganas tersebut.

Pasukan pejuang itu juga secara mutlak menolak “semua tindakan pengganas yang mensasarkan orang awam dan berusaha untuk menjejaskan kestabilan dan keselamatan di Republik Islam.”

Dalam masa sama, Hamas mengaitkan jenayah itu sebagai “agenda entiti Zionis dan rancangan jahatnya yang menyasarkan keselamatan dan kepentingan rakyat di rantau ini.”

Semalam, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Matt Miller berkata, AS tidak terlibat dalam letupan itu.

Katanya, negara sekutu Israel itu juga “tiada sebab untuk mempercayai bahawa Israel juga terlibat.”

Minggu lalu, Iran dan beberapa proksi bersenjatanya menuduh Israel membunuh seorang komander kanan Iran di Syria dan berikrar untuk membalas.

Dalam hal berkaitan, Timbalan ketua Hamas, Saleh al-Arouri kelmarin terbunuh selepas Israel menyerang pejuang Palestin berkenaan di Lubnan dengan dron.

Allahyarham adalah tokoh paling berprofil tinggi untuk dibunuh namun pembunuhannya berlaku dalam serangan pertama ke atas ibu negara Lubnan.

Susulan itu, Hizbullah berikrar kematian Al-Arouri akan dihukum dan menyebutnya “serangan serius ke atas Lubnan… dan perkembangan berbahaya semasa perang.”

Dalam masa sama, Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati mengecam pembunuhan itu dan berkata ia “bertujuan untuk menarik Lubnan” lebih jauh ke dalam perang Hamas-Israel.