MB Kelantan pun puji PADU

Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) iaitu inisiatif yang dibangunkan Kerajaan Perpaduan turut mendapat pujian Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud.

Dalam video yang tular di media sosial, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu berkata, data yang dianalisis PADU dapat mengenal pasti profil rakyat yang membolehkan subsidi kerajaan dapat disasarkan kepada rakyat yang benar-benar layak.

”PADU dapat mengelakkan golongan yang berpendapatan amat tinggi dan golongan pendatang asing atau warga asing daripada menikmati subsidi kerajaan yang sepatutnya hanya terhad kepada warganegara yang layak sahaja,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas, Kelantan.

Untuk rekod, PADU yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu itu, bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan yang memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber.

Selain pemantauan dan penilaian berkesan terhadap pelaksanaan dasar negara, PADU yang merupakan pangkalan data yang berintegrasi dan berpusat, mampu menjimatkan sumber secara signifikan.

Semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU, serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.