PM ucap selamat berjuang buat Harimau Malaya
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan atas kemampuan Skuad Harimau Malaya dalam pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar yang dijadual membuka tirai saingan secara rasmi 12 Januari ini.
“Selepas 42 tahun, kini Harimau Malaya kembali beraksi di pentas Piala Asia 2023 di Qatar.
“Selamat berjuang saya ucapkan dan saya menaruh keyakinan tinggi pasukan kendalian jurulatih Kim Pan Gon mampu beri saingan mantap dalam kejohanan kali ini.
“Mewakili seluruh rakyat Malaysia, saya mendoakan kejayaan buat skuad Harimau Malaya. Berjuanglah sepenuh jiwa demi lencana di dada!” kata Anwar dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Anak buah Kim Pan Gon bakal membuka saingan Kumpulan E menentang Jordan pada 16 Januari ini.
Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia pada 1980.
Skuad Harimau Malaya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007 tetapi ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah.
Perlawanan Piala Asia 2023 akan disiarkan secara langsung di RTM bermula 12 Januari ini dan Anwar menyeru supaya peminat bola sepak sama-sama memberikan sokongan kepada pasukan negara.
“Kepada peminat bola sepak negara, saksikan secara langsung di RTM dan ayuh kita berikan sokongan sebaiknya!,” tambah Anwar lagi.