AirAsia tawar tambang rendah tetap sempena Tahun Baharu Cina

AirAsia melancarkan promosi tambang rendah tetap penerbangan lewat malam bersempena Tahun Baharu Cina 2024.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tempahan yang dibuka pada hari ini melibatkan tempoh perjalanan bermula 5 sehingga 15 Februari depan.

Tawaran syarikat penerbangan kos rendah tempatan itu juga melibatkan beberapa destinasi utama di Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, promosi kali ini menyaksikan tambang ditawarkan pada harga hanya RM298 sehala dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru menuju ke Kuching, Sibu, Bintulu atau Miri di Sarawak.

“Manakala, dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru yang menuju ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau pula, harga ditetapkan oleh operator udara berkenaan cuma RM348 sehala.

“Selain, AirAsia turut menyediakan 134 lagi penerbangan tambahan lewat malam ” katanya.

Loke berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Tambang AirAsia ke Sabah dan Sarawak sempena Tahun Baru Cina di Sepang hari ini.

Dalam masa sama, Anthony Loke memuji usaha AirAsia menawarkan sejumlah 408 penerbangan dengan 25,000 tempat duduk sepanjang tempoh perayaan itu dengan harga tiket yang amat berpatutan.