Anak syarikat KKDW gagal jana keuntungan ditutup

Kementerian Kemajuan Wilayah dan Desa (KKDW) mengesahkan sudah ada anak syarikat di bawah agensi kementerian itu yang ditutup kerana tidak mahu menanggung ‘biawak hidup’ susulan kegagalan menjana keuntungan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, maklumat lanjut mengenai syarikat yang ditutup itu akan didedahkan di Parlimen nanti.

”Sudah ada (anak syarikat) yang ditutup, kami juga menawarkan ‘management buyout’ (pengambilalihan pengurusan) kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan.

“Kita serahkan kepada mereka dengan bayaran nominal (setimpal) bagi mereka meneruskan (syarikat) jika ia keluar dari badan induk (KKDW).

”Saya juga telah arahkan kepada pengerusi-pengerusi agensi dan lembaga kemajuan wilayah supaya berusaha memulihkan semula syarikat yang tidak mempunyai keuntungan.

“Elok cari jalan untuk menyumbang kepada keuntungan kepada agensi dan KKDW dan jika tidak (gagal), arahan saya sila tutup. Ini sangat penting supaya kita tak tanggung ‘biawak hidup’ dalam organisasi kita,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Amanat 2024 KKDW, di Putrajaya, hari ini.

Pada Ogos tahun lalu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, anak syarikat agensi di bawah KKDW yang tidak memberikan keuntungan, akan ditutup dan digabungkan dengan anak syarikat lain.

Katanya, ia adalah saranan KKDW kepada Kementerian Kewangan dalam usaha drastik untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan dan menstruktur semula anak syarikat bawah agensi kementerian.